Search This Blog

Friday, May 14, 2010

Peguam mohon batal pertuduhan



KUALA LUMPUR 13 Mei - Mahkamah Majistret Ampang di sini hari ini memerintahkan supaya kedua- dua pertuduhan ke atas pelakon dan bekas model, Badrul Muhayat yang didakwa mencederakan isterinya dirujuk semula ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya bagi menentukan statusnya.
Perintah tersebut dikeluarkan oleh Majistret Wan Karimah Wan Ab. Ghani setelah peguam bela yang mewakili Badrul Muhayat Ahmad Jailani, 42, Abdul Rashid Tasin memohon agar kesemua pertuduhan itu dibatalkan.
Ini kerana menurut Abdul Rashid, terdapat kecacatan dalam pertuduhan pertama dan kedua selain berlaku pertindihan masa dan tempat kejadian.
Mengikut pertuduhan pertama, Badrul didakwa mencederakan Julia Daud, 29, dengan menumbuk muka dan menendang perut mangsa.
Bagi pertuduhan kedua pula, bapa kepada dua anak itu didakwa memukul wanita itu di punggung dan kaki menggunakan batang penyapu.
Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di rumah mereka di Lot 313E, Jalan 49B, Bukit E, Kampung Cheras Baru, di sini pada pukul 7 pagi, 24 Mac lalu.
Badrul Muhayat didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Dalam hujahnya, peguam menyifatkan pihak pendakwa tidak seharusnya mendakwa pelakon itu mengikut seksyen tersebut dan memohon agar pertuduhan ke atas anak guamnya dibatalkan.
Sebaliknya pada pandangan beliau, pihak pendakwaan sepatutnya mendakwa Badrul Muhayat di bawah Seksyen 324 kanun yang sama kerana ia membabitkan tindakan memukul menggunakan objek iaitu penyapu.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut.
Pegawai pendakwa, Cif Inspektor J. Iruthayanathan bagaimanapun membantah permohonan itu.
Majistret Wan Karimah menetapkan 14 Jun ini bagi sebutan semula bagi membolehkan pihak pendakwa mendapatkan arahan selanjutnya.
Badrul yang hadir ditemani isterinya dilihat rapi berambut pendek serta kemas berpakaian suit hitam dan putih, berbeza dengan keadaannya ketika dia didakwa sebelum ini.
Pada 6 April lalu ketika didakwa, dia telah gagal menjelaskan jaminan, bagaimanapun jaminan dibayar keesokan harinya.
Pasangan tersebut berpelukan dan bercium mesra sambil melambaikan tangan ke arah pihak media sebelum meninggalkan perkarangan mahkamah.

No comments:

Post a Comment