Search This Blog

Tuesday, May 11, 2010

Peguam, keluarga kesal tidak dimaklum pendakwaan



SHAH ALAM 10 Mei - Peguam dan ahli keluarga Allahyarham Aminulrasyid Amzah kesal kerana mereka tidak dimaklumkan bahawa seorang anggota polis dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dakwaan menyebabkan kematian remaja berusia 15 tahun itu akibat terkena tembakan di Seksyen 11, 26 April lalu.
Peguam keluarga itu, N. Surendran berkata, ternyata tidak ada ketelusan dalam perkara itu dan ia tidak adil kepada ahli keluarga remaja itu dan orang awam.
''Kami difahamkan ramai juga wakil media gagal hadir ke mahkamah (tidak tahu mengenai pendakwaan itu)" katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Koperal Jenain Subi, 48, hari ini dihadapkan di mahkamah tersebut atas tuduhan menyebabkan kematian Aminulrasyid mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan.
Surendran juga berasa kecewa dan terkejut kerana tiada sesiapa didakwa sama ada terhadap cubaan membunuh atau membunuh tanpa niat Azamuddin Omar, 15, saksi yang berada di dalam kereta bersama Aminulrasyid ketika kejadian.
Malah katanya, tiada anggota polis didakwa kerana melakukan serangan fizikal ke atas Azamuddin selepas dia berjaya keluar dari kereta tersebut.
Sebelum ini Azamuddin dipetik sebagai berkata, dia dipukul oleh beberapa anggota polis sebaik sahaja keluar dari kereta tersebut yang terbabas di dalam longkang sebelum berjaya melarikan diri.
Surendran berkata, beliau juga terkejut kerana tiada anggota polis yang berada di dalam kereta peronda pada malam tersebut didakwa kerana melakukan kesalahan bersubahat dalam kejadian itu.

No comments:

Post a Comment