Search This Blog

Monday, May 31, 2010

Nyaris maut dirempuh kontena




PETALING JAYA – Tiga wanita warga Indonesia nyaris maut setelah dirempuh sebuah lori kontena ketika sedang menunggu bas di Hentian Seri Setia di Kilometer 28.7, Lebuhraya Persekutuan menghala ibu kota dekat sini, semalam. 

Dalam kejadian kira-kira jam 10.15 pagi itu, tiga mangsa yang bekerja kilang elektronik berhampiran lokasi kejadian baru habis kerja syif malam. 

Ketua Trafik Selangor, Superintendan Che Hussin Omar berkata, lori kontena tanpa muatan itu dalam perjalanan dari arah Shah Alam. 

Katanya, siasatan awal mendapati lori yang berada di lorong tengah itu hilang kawalan dan terus melanggar hentian bas tersebut sebelum terbabas di lorong motosikal. 

Difahamkan, stereng lori berkenaan gagal berfungsi hingga hilang kawalan. 

“Dua daripada tiga mangsa terperosok di bawah lori kerana tidak sempat melarikan diri ekoran kejadian berlaku dengan pantas. 

“Rempuhan itu juga menyebabkan hentian bas tersebut rosak,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam. 

Katanya, kesemua mangsa dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Melaya (PPUM) oleh orang awam dan dilaporkan stabil. 

“Pemandu lori berusia 53 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan dan kita akan merakamkan percakapannya bagi membantu siasatan,” katanya. 

Tinjauan Sinar Harian di lokasi kejadian mendapati kesesakan lalu lintas sepanjang hampir lima kilometer dan lorong motosikal terpaksa ditutup berikutan kerja mengalih lori berkenaan.

No comments:

Post a Comment