Search This Blog

Thursday, May 6, 2010

Nubhan mengaku salah miliki dadah



SHAH ALAM – Nubhan Osman, seorang bekas penghantar surat, dihukum penjara lapan tahun selepas mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi di sini atas pertuduhan pindaan memiliki 0.885 kilogram kanabis, tahun lalu. 

Pesuruhjaya Kehakiman, Siti Khadijah Sheikh Hassan Badjenid memerintahkan hukuman terhadap Nubhan, 25, bermula dari tarikh dia ditangkap. 

Khadijah turut menjatuhkan hukuman sebat 10 kali terhadap Nubhan. 

Tertuduh didakwa memiliki dadah itu pada jam 9.30 malam, 6 Ogos 2009 di tepi Jalan Ampang, berhadapan Kompleks Beli-belah Ampang Point, Hulu Langat, dekat sini. 

Pendakwaan dikendalikan mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan pesalah boleh dihukum di bawah Sek- syen 39A(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum seumur hidup dan sebatan tidak kurang 10 kali jika sabit kesalahan.

Fakta kes menyatakan, Nubhan ditangkap selepas berkelakuan mencurigakan semasa berhenti di tepi jalan pada tarikh dan masa dinyatakan dan hasil pemeriksaan, dadah ditemui di raga motosikal tertuduh. 

Peguam bela, K Komagan dalam rayuannya memohon mahkamah mempertimbangkan kesusahan yang akan dialami isteri dan tiga anak tertuduh berumur 6, 4, dan 2 tahun jika penanggung tunggal keluarga dipenjarakan untuk tempoh lama. 

“Sejak ditahan reman, keluarga tertuduh bergantung kepada ibu tertuduh yang bekerja sebagai pengasuh dan pendapatan itu digunakan untuk menanggung pendidikan anak tertuduh serta belanja harian keluarganya. 

"Justeru, saya merayu tertuduh yang sudah insaf diberi peluang kedua untuk kembali ke pangkuan keluarga dan memastikan anak tertuduh mendapat kasih sayang seorang bapa," katanya. 

Timbalan Pendakwa Raya, Isa Hassim membidas rayuan itu dengan berhujah bahawa tertuduh sepatutnya memikirkan perkara itu sebelum terjerumus dengan kegiatan dadah. 

“Kesedaran perlu difikirkan sebelum dan bukannya pada peringkat ini,” katanya. 

Isa memohon mahkamah mengambil kira faktor kepentingan awam dan kekerapan kesalahan seperti ini berlaku yang memerlukan hukuman berbentuk kesedaran kepada tertuduh dan mereka yang cuba melakukan kesalahan serupa.

No comments:

Post a Comment