Search This Blog

Monday, May 3, 2010

Mayat reput terapung di tasik



SHAH ALAM - Mayat seorang lelaki warga asing ditemui terapung dengan kedua-dua belah tangan dan kakinya diikat di Tasik Setia Wawasan, Setia Alam, di sini, tengah hari semalam. 

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Noor Azam Jamaluddin berkata, dalam kejadian kira kira jam 12.50 tengah hari, polis menerima maklumat daripada orang awam yang sedang bersiar-siar di kawasan itu bersama keluarga. 

"Saksi terbabit terkejut apabila mendapati objek terapung pada permukaan tasik rupa-rupanya manusia, lalu terus memaklumkan kejadian kepada polis sebelum sepasukan anggota bergegas ke lokasi kejadian," katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi semalam. 

Azam berkata, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai dibunuh dan dicampakkan ke dalam tasik itu dua hari lalu berdasarkan keadaan mayat yang sudah busuk. 

“Pemeriksaan lanjut mendapati, kedua-dua belah tangan mangsa diikat ke belakang manakala kakinya diikat pada seketul batu besar,�dipercayai bagi memastikan mayat mangsa tidak terapung. 

“Polis belum dapat mengenal pasti identiti mangsa berikutan tiada dokumen pengenalan diri ditemui bersamanya; malah keadaan mayat yang sudah reput dan hitam turut menyukarkan polis menjalankan siasatan,” katanya. 

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang untuk dibedah siasat dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. 

"Sesiapa yang ada sebarang maklumat berhubung kejadian ini diminta tampil membantu siasatan atau menghubungi talian Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, 03-551022210," katanya.

No comments:

Post a Comment