Search This Blog

Tuesday, May 11, 2010

Mayat rentung ditemui dalam Perdana V6



Kereta Perdana V6 dijumpai terbakar dan terdapat mayat di dalam kereta tersebut di Ladang elmina, Kuang, semalam. - utusan/Ahmad Zakki Jilan


SUNGAI BULOH 10 Mei - Satu mayat rentung dipercayai mangsa bunuh ditemui dalam but kereta jenis Perdana V6 milik seorang pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang dilaporkan hilang di Wangsa Maju, pada 12 April lalu.
Mayat itu ditemui oleh sepasukan anggota Bomba dan Penyelamat Balai Sungai Buloh yang datang untuk memadamkan kebakaran kereta terbabit di Ladang Sawit Elmina, Jalan Kuala Selangor di sini pada pukul 11.30 malam tadi.
Mangsa dipercayai dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dimasukkan ke dalam but kereta dan dibakar bagi menghapuskan bukti.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, selepas bomba selesai memadamkan api, mereka menemui satu mayat yang 70 peratus terbakar dalam but kereta berkenaan.
Beliau berkata, anggota forensik yang menyiasat di tempat kejadian mendapati, terdapat unsur-unsur jenayah dalam insiden tersebut.
Katanya, kereta yang terbakar itu adalah milik Asisten Ketua Staf Pengurusan TDLM, Laksamana Pertama Datuk Rosli Idrus yang dilaporkan hilang di Wangsa Maju pada 12 April lalu.
"Kereta Perdana V6 bernombor pendaftaran WSA 8476 itu dilaporkan hilang oleh Laksamana Pertama Datuk Rosli Idrus yang bertugas di Wisma Pertahanan di Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur pada pukul 10.33 pagi, 12 April lalu iaitu ketika diletakkan di tempat letak kereta di Wangsa Maju," katanya di sini hari ini.
Abdul Rahim berkata, polis belum mengenal pasti identiti mangsa yang ditemui dalam kereta tersebut kerana keadaannya yang sudah rentung.
Beliau berkata, mayat terbabit sudah dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, anggota polis bantuan di Ladang Sawit Elmina Div C, N. Ganesan, 34, berkata, dia sedang menunggang motosikal untuk pulang ke rumah selepas selesai bertugas apabila ternampak api dan asap tebal di tengah kawasan ladang.
Menyangkakan ladang yang terbakar, katanya, dia segera memaklumkan kejadian itu kepada penyelia dan sama-sama bergegas ke tempat kejadian untuk memadamkan kebakaran.
"Kami kemudian terkejut apabila mendapati yang terbakar rupa-rupanya sebuah kereta dan cuba memadamkan kebakaran itu dengan alat pemadam api tetapi gagal.
"Penyelia saya kemudian menyuluh ke dalam kereta dan melihat ada objek bulat menyerupai kepala manusia dalam but belakang," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Ganesan berkata, penyelianya kemudian merakamkan imej tersebut menggunakan kamera digital dan apabila imej dibesarkan memang sah ia rangka manusia.
Terkejut dengan penemuan itu, katanya, mereka segera menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Buloh untuk membantu memadamkan kebakaran.

No comments:

Post a Comment