Search This Blog

Tuesday, May 11, 2010

Mati selepas menyamun



PENGKALAN KEMPAS – Cubaan dua lelaki melarikan diri selepas menyamun dan mencederakan mangsa tidak berhasil apabila ditemui mati di tengah jalan, satu kilometer dari tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Baljeet Singh berkata, dua lelaki berkenaan didapati menyerang mangsa yang baru pulang dari rumah kira-kira jam 6.20 petang kelmarin.

Menurutnya, suspek bersenjatakan parang menyerang mangsa yang cuba melawan sebelum melarikan diri menggunakan motosikal mangsa.

“Mangsa seorang lelaki berbangsa Cina, cedera di bahagian kepala, tangan dan jari termasuk putus jari kelengkeng. Dia kemudiannya dikejarkan ke Hospital Tunku Jaafar Seremban untuk rawatan.

“Kejadian samun disaksikan jiran mangsa yang bertindak mengejar suspek sebelum menemui mayat suspek yang dikenal pasti sebagai penunggang dan jatuh daripada motosikal tersebut semasa melarikan diri,” katanya kepada pemberita dalam sidang media semalam.

Baljeet menambah, mayat ditemui orang ramai lebih kurang dua kilometer dari tempat kejadian sementara motosikal mangsa dilarikan suspek turut ditemui di kawasan ladang kelapa sawit satu kilometer dari kawasan mayat ditemui.

“Suspek yang mati di tempat kejadian berusia 40 tahun dan berasal dari Kulai Johor sementara rakannya berusia 37 tahun berasal dari Batu Pahat Johor.

“Hasil siasatan dan maklumat orang ramai, pada jam 8.00 malam, polis berjaya mengesan seorang lagi suspek kejadian. Suspek ditahan di Batu 8 Jalan Pantai Port Dickson bersama dua rakan termasuk seorang wanita yang ketika itu sedang dalam perjalanan menaiki sebuah kereta Toyota Vios.

“Siasatan awal mendapati kemungkinan kejadian berunsurkan balas dendam kerana suspek sudah lama mengekori gerak geri mangsa. Suspek juga didapati mengambil dadah jenis syabu sebelum kejadian berlaku,” katanya lagi.

Suspek ditahan reman selama seminggu untuk siasatan lanjut dan kes disisasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan, mendatangkan kecederaan kepada mangsa ketika melakukan samun.

No comments:

Post a Comment