Search This Blog

Thursday, May 6, 2010

Mahkamah bicara waktu malam



IPOH – Sistem kehakiman di Perak mencatatkan sejarahnya tersendiri apabila buat pertama kalinya Mahkamah Sesyen di sini, mengadakan prosiding pada waktu malam bagi membicarakan kes ragut, malam kelmarin.

Mohammad Azuanizam Shah Mohd Shafie, 22, adalah tertuduh pertama bagi perbicaraan sesi malam itu, dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan enam sebatan selepas mengaku bersalah atas kesalahan ragut yang dilakukannya pada 22 April lalu.

Tertuduh berasal dari Kampung Tersusun Tasek di sini, didakwa melakukan samun terhadap Fong Lai Yean, 34, dengan meragut rantai leher emas bernilai kira-kira RM300, pada jam 8.45 pagi 22 April lalu. 

Tertuduh disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana kesalahan merompak. 

Ketika pertuduhan dibacakan, tertuduh mengaku bersalah dan merayu mahkamah mengenakan hukuman yang ringan terhadapnya. 

Sebelum menjatuhkan hukuman pada jam 9.30 malam, Hakim Mahkamah Sesyen Ipoh, Tan Hoi Leng berkata, kesalahan ragut adalah jenayah semakin berleluasa dalam kalangan masyarakat kini dan mereka yang bersalah sepatutnya menerima hukuman setimpal. 

Pertuduhan dibacakan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Jasli Mohd Yusuf. 

Ketika pertuduhan dibacakan, pihak pendakwa mengemukakan beberapa bukti kes termasuk salinan laporan polis oleh mangsa, laporan polis berhubung tangkapan semula tertuduh, rantai leher emas milik mangsa dan dua keping gambar lokasi kejadian samun. 

Jasli berkata, pihaknya boleh memohon hukuman setimpal ke atas tertuduh dan berdasarkan sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 14 tahun dan sebatan. 

Sebelum ini, Mohd Zhafir Nadzaree, 23, dijatuhi hukuman oleh Mahkamah Sesyen di Johor yang bersidang pada waktu malam atas tuduhan meragut beg tangan seorang wanita pada Mac lalu.

No comments:

Post a Comment