Search This Blog

Sunday, May 30, 2010

Letusan gunung berapi benua Amerika



TUNGURAHUA memuntahkan lahar dalam letusan sejurus sebelum tengah malam semalam, menggegarkan wilayah Cotalo, Ecuador. - AP


GUATEMALA CITY 29 Mei - Dua gunung berapi besar di Amerika Tengah dan Amerika Selatan meletus semalam, memaksa beribu- ribu penduduk meninggalkan kediaman masing-masing dan mencetuskan gangguan trafik udara akibat debu gunung berapi yang berterbangan ke bandar-bandar besar.
Gunung berapi Pacaya meletuskan lahar dan batuan panas petang Khamis lalu dengan debu menyeliputi ibu negara dan memaksa penutupan sebuah lapangan terbang antarabangsa.
Seorang pemberita televisyen terbunuh akibat dihujani batu panas kerana terlalu dekat dengan gunung berapi tersebut, 25 kilometer ke selatan Guatemala City.
Di perkampungan Calderas, yang hampir dengan gunung berapi itu, seorang penduduk, Brenda Castaneda berkata, dia dan keluarganya berlindung di bawah katil dan meja ketika batu sebesar guli menghujani kediaman mereka.
"Kami fikir kami tidak akan selamat. Rumah kami musnah dan dan kami kehilangan segala-galanya," kata Castaneda ketika menunggu pasukan penyelamat mengambil mereka untuk dibawa ke pusat perlindungan di sekolah berhampiran.
Sementara itu, gegaran kuat menggegarkan gunung berapi Tungurahua di Ecuador, menyebabkan beratus-ratus penduduk berhampiran dipindahkan petang kelmarin.
Institut Geofizik Kebangsaan Ecuador berkata, lahar mengalir keluar dari gunung berapi dan debu terpancut keluar setinggi 10 kilometer dari kawah pada ketinggian 5,023 meter dari paras laut itu.
Angin meniupkan debu ke seluruh Guayaquil, bandar dengan jumlah penduduk paling ramai di negara itu, menyebabkan pegawai menghentikan penerbangan keluar dari Pasifik dan dari Quito ke Lima, Peru.
Namun kedua-dua letupan itu dijangka tidak akan mengganggu lapangan terbang negara jiran seperti yang dicetuskan oleh letusan gunung berapi Eyjafjallajokul, Iceland di Eropah. - AP

No comments:

Post a Comment