Search This Blog

Tuesday, May 11, 2010

Laung azan mohon kedai selamat




BAGAN DATOH - Dua kedai melibatkan sebuah bengkel membaiki motosikal dan sebuah kedai jahitan musnah dalam satu kebakaran di Pekan Bagan Datoh, di sini, semalam. 

Seorang mangsa, Tan Vee Boon berkata, kebakaran yang berlaku langsung tidak disedarinya kerana ketika itu dia sedang tidur. 

Menurutnya, mujur rakan dan jiran mengetuk pintu mengejutkannya dan memberitahu kedai jahitnya terbakar. 

“Saya anggarkan kerugian lebih kurang RM6,000 melibatkan mesin jahit dan kain yang ada di dalam kedai. 

“Mungkin ini ujian untuk saya dan ia tidak akan mematahkan semangat saya terus berniaga,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di tempat kejadian. 

Vee Boon berkata, sepanjang 20 tahun berniaga di situ, belum pernah kejadian seumpama itu berlaku dan selepas ini dia akan lebih berhati-hati. 

Seorang lagi peniaga yang menyewa kedai di situ, Arif Kosnin berkata, kejadian berlaku pada waktu pagi dan ketika itu dia sedang mendaftarkan anaknya memasuki tingkatan enam. 

Menurutnya, ketika itu dia menerima banyak panggilan telefon daripada rakan-rakannya tetapi membiarkan sementara kerana mahu menyelesaikan urusan pendaftaran anak di Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Abdul Razak, Selekoh. 

Dia yang membuka bengkel membaiki kereta berkata, dia tidak menyangka panggilan yang banyak diterima itu rupanya mahu memberitahu mengenai kejadian kebakaran itu. 

“Saya terus bergegas pulang untuk melihat keadaan kedai dan sepanjang jalan saya melaungkan azan memohon supaya tiada kejadian tidak diingini berlaku. 

“Alangkah lega bila kedai saya masih belum terbakar dan saya bersama rakan-rakan sempat mengeluarkan barang-barang berharga,” katanya. 

Menurutnya, jika pihak bomba dan penyelamat lambat bertindak dan dia juga tidak sempat mengeluarkan barang-barangnya, mungkin kerugian yang dialami melebihi RM50,000. 

Sementara itu, saksi kejadian, Jasamudin Mohd Yunus berkata, kejadian berlaku lebih kurang jam 7 pagi dan sebaik melihat api marak, dia terus menjerit meminta pertolongan dan mendapatkan bantuan daripada Bomba Sukarelawan Bagan Datoh. 

Seorang lagi saksi, Mat Som Yeop berkata, sebaik melihat api marak, dia terus ke rumah salah seorang pemilik kedai untuk memaklumkan kejadian itu, bagaimanapun pemilik kedai itu sudah pun keluar dan dia kembali semula ke tempat kejadian untuk membantu apa yang perlu. 

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Intan, A Ravi ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 7.35 pagi dan tiba di tempat kejadian pada jam 8.12 pagi. 

Bagaimanapun menurutnya, anggota Bomba Sukarela Bagan Datoh tiba dahulu untuk memadam kebakaran. 

“Api berjaya dikawal kira-kira 10 minit. Tiada kemalangan jiwa berlaku dan punca kejadian serta taksiran kerugian masih dalam siasatan,” katanya

No comments:

Post a Comment