Menteri Kecemasan, Sergei Shoigu berkata, mengikut kiraan terbaru, seramai 30 orang telah terbunuh, manakala 60 orang yang hilang masih terperangkap di dalam lombong.
"Kami masih menjalankan operasi mencari dan menyelamat," katanya ketika melawat kawasan bencana.
Menurut Shoigu, sistem pengalihan udara yang rosak akibat letupan itu telah dibaik pulih dan operasi menyelamat yang dihentikan selepas berlaku letupan kedua telah disambung semula.
Letupan pertama berlaku lewat Sabtu lalu, di lombong arang batu Raspadskaya, rantau Kemerovo, Siberia ketika 370 orang sedang bekerja di bawah tanah lombong itu.
Pada mulanya, angka korban seramai 12 orang dan 71 lagi cedera, sementara 300 pekerja lain berjaya menyelamatkan diri, menurut agensi berita Interfax.
Bagaimanapun, selepas dua jam, iaitu selepas pasukan penyelamat memasuki lombong untuk mencari mangsa yang terselamat dan membawa mayat ke atas, letupan kedua berlaku dan memerangkap pekerja lombong dan pasukan penyelamat.
Raspadskaya, pengeluar terbesar bahan bakar arang batu di Rusia, sebahagiannya dimiliki oleh pembuat keluli Evraz, syarikat yang 36 peratus sahamnya dikuasai jutawan kelab bola sepak Chelsea, Roman Abramovich.
Menurut sumber syarikat terbabit kepada ITAR-TASS, berlaku peningkatan mendadak ke atas gas metana di dalam lombong itu dan para pekerja tidak mempunyai masa untuk menyelamatkan diri sebelum letupan berlaku.
Siasatan jenayah telah dilancarkan bagi meneliti kecuaian pelaksanaan peraturan keselamatan. - AFP
No comments:
Post a Comment