Search This Blog

Tuesday, May 11, 2010

Koperal dihadap ke mahkamah





SHAH ALAM 10 Mei - Selepas dua minggu Aminulrasyid Amzah meninggal dunia akibat terkena tembakan, seorang anggota polis berpangkat koperal hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan menyebabkan kematian remaja berusia 15 tahun itu.
Jenain Subi, 48, yang berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak 25 tahun lalu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim M. Gunalan.
Tertuduh yang bertugas di Unit Kereta Peronda, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam itu didakwa menyebabkan kematian Aminulrasyid di Jalan Tarian, Seksyen 11 di sini antara pukul 1.10 dan 2 pagi, 26 April lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda jika disabitkan kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Dusuki Mokhtar mencadangkan supaya Jenain diikat jamin RM35,000 dengan seorang penjamin.
Ini kerana menurut Mohd. Dusuki, kesalahan yang didakwa dilakukan oleh anggota polis itu adalah serius kerana melibatkan keselamatan serta kepentingan awam.
Peguam Salim Bashir yang mewakili Jenain bagaimanapun memohon jumlah itu dikurangkan kerana anak guamnya masih berkhidmat dan tidak berpeluang melarikan diri.
Menurut peguam itu, jumlah tersebut terlalu tinggi berbanding pendapatan tertuduh dan isterinya pula seorang guru yang perlu menyara empat anak mereka.
Salim turut memohon agar mahkamah menetapkan jumlah jaminan tanpa dipengaruhi oleh pandangan masyarakat terhadap kes itu.
Gunalan kemudiannya membenarkan Jenain dibebaskan dengan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 10 Jun ini sebutan semula kes.
Sementara itu, Jenain yang berbaju T kuning dan oren serta berseluar jeans biru dibawa ke mahkamah dalam keadaan bergari pada pukul 11.30 pagi dengan menaiki sebuah kereta polis.
Dia yang pernah bertugas di Unit D5 sebagai anggota polis mahkamah antara tahun 1996 dan 2008 dikawal ketat oleh beberapa anggota polis berpakaian preman.
Jenain dilihat tenang sepanjang prosiding serta sempat melemparkan senyuman kepada petugas media sebelum dibawa ke lokap polis sementara menunggu urusan ikat jamin selesai.
Sebelum ini, kontroversi tercetus apabila Aminulrasyid meninggal dunia selepas terkena tembakan yang dilepaskan oleh anggota polis peronda apabila remaja itu dikatakan cuba melarikan diri ketika cuba ditahan di Seksyen 11 di sini.
Dalam kejadian itu, polis dikatakan mengejar kereta yang dipandu remaja itu sejauh enam kilometer pada kadar kelajuan tinggi sebelum ia terbabas. Rakan mangsa Azamuddin Omar, 15, berada di tempat duduk di sebelah pemandu semasa kejadian berlaku.
Berikutan itu, panel khas yang diketuai Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop telah ditubuhkan bagi memantau siasatan insiden tersebut.
Sementara itu, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dalam satu kenyataan akhbar menyatakan bahawa keputusan untuk mendakwa Jenain dibuat selepas beliau menimbangkan keterangan yang diperoleh melalui penyiasatan yang dijalankan secara adil dan saksama.
''Saya juga telah mengarahkan pegawai saya untuk melihat dari aspek kesalahan pasukan itu secara keseluruhan dan tidak akan teragak-agak untuk mendakwa mereka sekiranya terdapat keterangan,'' katanya.

No comments:

Post a Comment