Search This Blog

Friday, May 14, 2010

Konstabel tembak remaja dibebas dengan jaminan



SEREMBAN 13 Mei - Seorang anggota polis berpangkat konstabel yang terlibat dalam kes tembak seorang remaja di Jalan Seremban-Jelebu di sini baru-baru ini, dibebaskan dengan jaminan polis semalam.
Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin berkata, anggota yang berkhidmat di Balai Polis Rahang itu dibebaskan selepas polis berpuas hati dengan hasil siasatan.
"Bagaimanapun, kes ini masih dalam siasatan dan anggota polis berusia 20 tahun itu akan terus digantung tugas sehingga siasatan selesai," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 3.30 pagi pada Sabtu lalu, seorang remaja cedera parah di bahagian perut selepas seorang anggota polis melepaskan satu das tembakan semasa mengejar remaja itu di Jalan Seremban-Jelebu.
Mohd. Azizi Aziz, 17, dikatakan ditembak kerana tidak memberhentikan motosikal yang ditungganginya selepas diarahkan oleh anggota polis kereta peronda.
Tembakan yang dilepaskan itu terkena bahagian perut Mohd. Azizi hingga tembus ke usus menyebabkan dia terpaksa dikejarkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tuanku Ja'afar di sini.
Mangsa bagaimanapun dibenarkan keluar dari ICU selepas menjalani beberapa pembedahan dan kini ditempatkan di wad biasa hospital yang sama untuk memantau tahap kesihatannya.
Sebelum ini, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh berkata, anggota polis yang terbabit disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh.
Namun siasatan awal polis juga mendapati, Mohd. Azizi telah menunggang motosikal rakannya jenis Honda EX5 dan tidak mempunyai lesen menunggang yang sah.
Polis juga telah mengambil kenyataan bapa remaja itu, Aziz Omar, 42, di Balai Polis Seremban 2 baru-baru ini berhubung kejadian tersebut.

No comments:

Post a Comment