Search This Blog

Sunday, May 9, 2010

Kimma, Irimm buat laporan terhadap Zaid




KUALA LUMPUR– Dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) dan Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (Irimm) semalam membuat laporan polis terhadap Penyelaras Pakatan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim berhubung kenyataannya, baru-baru ini, dalam sebuah blog yang dianggap menghina Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah. 

Seramai tujuh wakil dari kedua-dua pertubuhan itu memasuki perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada jam 11.30 pagi, semalam, untuk membuat laporan, sebelum keluar kira-kira setengah jam kemudian. 

Presiden Kimma, Mohd Fazil William berkata, kenyataan Zaid berhubung perkara itu dianggap sebagai tidak wajar kerana semua titah sultan perlu dihormati. 

“Tindakan Zaid ini adalah satu perbuatan menghina sultan dan bagi mengelakkan perkara sama berulang, tindakan tegas perlu diambil terhadapnya. 

“Selain itu, kita mahu dia (Zaid) membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung kenyataannya baru-baru ini,” katanya selepas selesai membuat laporan polis semalam. 

Menurutnya, beliau serta semua ahli Kimma dan Irimm sangat kesal dengan sikap Zaid dan mahu siasatan terhadapnya dijalankan segera polis. 

Dalam perkembangan sama, Presiden Irimm, Amir Amsaa Alla Pitchay turut menyatakan persetujuannya bahawa Zaid perlu melakukan permohonan maaf kepada sultan dalam kadar segera. 

“Apa yang dititahkan sultan adalah satu peringatan kepada seluruh umat Islam agar tidak berlaku perpecahan antara satu sama lain tambah lagi, baginda adalah ketua bagi setiap negeri,” katanya.:

No comments:

Post a Comment