Search This Blog

Friday, May 14, 2010

Khuatir anak teguk ‘air setan’

2010/05/14
SEREMBAN: Kebiasaannya ibu bapa bimbang pembabitan anak-anak mereka dalam penagihan dadah, namun keadaan sebaliknya berlaku di Senawang, dekat sini, apabila segelintir remaja dikesan aktif meneguk ‘air setan’.
Ini berikutan, ada di kalangan ibu bapa terbabit menemui beberapa botol arak yang baru digunakan di kawasan rumah tinggal sekitar kawasan perumahan yang dipercayai diminum remaja Islam.
Sebelum ini, aktiviti meminum arak itu tidak berlaku di kawasan berkenaan, tetapi penemuan beberapa botol arak di kawasan perumahan itu meresahkan ramai pihak terutama ibu bapa kerana dikhuatiri kegiatan itu turut membabitkan ahli keluarga mereka.

Malah, kegiatan tidak sihat itu kemungkinan akan terus berleluasa jika tiada tindakan tegas.

Penduduk, Wan Ahmad Arshad, 43, berkata pihaknya menemui lebih 10 botol arak pelbagai jenama berselerak di kawasan rumah tinggal di Taman Tasik Jaya, Senawang, yang dipercayai digunakan segelintir remaja dan belia pada sebelah malam terutama hujung minggu.

Beliau berkata, pihaknya percaya kawasan rumah tinggal itu dijadikan tempat mereka melepak pada malam hari terutama hujung minggu sambil meneguk minuman keras.

“Saya terkejut apabila menemui beberapa botol arak yang baru digunakan di sebuah rumah tinggal di kawasan ini dan saya percaya mereka remaja dan belia yang menggunakannya kerana beberapa penduduk setempat pernah terserempak mereka.

“Malah, kumpulan remaja dan belia ini sering membuat bising pada malam hari hingga mengganggu ketenteraman penduduk berhampiran. Saya percaya ada kemungkinan kumpulan sama melakukan kegiatan meminum air setan ini,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya berharap ahli jawatankuasa persatuan penduduk atau Kawasan Rukun Tetangga (KR)T) membuat siasatan dan pemantauan bagi memastikan kegiatan tidak sihat itu dibanteras.

Katanya, tindakan proaktif pemimpin dan penduduk setempat penting bagi memastikan kegiatan terbabit tidak terus berleluasa hingga mungkin akan mendorong remaja atau individu lain turut terbabit, sekali gus mengundang pelbagai gejala sosial lain.

“Saya juga bimbang jika kegiatan mereka ini tidak dipantau akan menjejaskan imej taman perumahan ini, sekali gus mencemarkan nama baik penduduk,” katanya.

Sementara itu, Ketua Perhubungan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Cawangan Negeri Sembilan, Mohd Fadil Baharuddin, berkata kegiatan minum arak yang dilakukan remaja dikesan di kebanyakan tempat di Senawang sejak kebelakangan ini.

Katanya, antara lokasi yang sering menjadi tumpuan ialah Taman Komersial Senawang, Taman Cempaka dan Dataran Senawang.

“Tindakan proaktif pihak berkuasa agama perlu bagi memastikan kegiatan ini tidak terus berleluasa kerana kebanyakannya membabitkan belia Melayu,” katanya.

No comments:

Post a Comment