Search This Blog

Thursday, May 20, 2010

Kemalangan bas ekspres: Polis ambil keterangan dua pemandu



Kereta pacuan empat roda yang remuk dalam kemalangan dengan bas ekspres di Kilometer 19.5, Jalan Ranau-Tamparuli, kelmarin.


KOTA KINABALU 19 Mei - Polis hari ini mengambil keterangan pemandu bas ekspres dan kenderaan pacuan empat roda yang terlibat dalam kemalangan sehingga mencederakan tiga penumpang di Kilometer 19.5, Jalan Ranau-Tamparuli semalam.
Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Supritendan Suhaimi Hashim berkata, ujian air kencing turut dijalankan ke atas dua pemandu kenderaan terbabit bagi mengenal pasti sama ada mereka positif mengambil dadah atau berada di bawah pengaruh alkohol ketika kemalangan itu.
"Soal siasat dilakukan secara menyeluruh bagi mengesan punca sebenar kemalangan itu berlaku.
"Berdasarkan siasatan awal, kenderaan pacuan empat roda berkenaan cuba memotong sebuah kenderaan lain sebelum bertembung dengan bas ekspres itu yang dalam perjalanan dari Kota Kinabalu ke Tawau," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Semalam, tiga penumpang iaitu seorang lelaki parah manakala dua wanita cedera selepas sebuah pacuan empat roda bertembung dengan sebuah bas ekspres.
Kemalangan berlaku pukul 5 petang ketika bas itu membawa seramai 40 penumpang dari Ranau ke Kota Kinabalu.
Bas itu kemudian merempuh sebuah rumah di tepi jalan berhampiran Taman Kinabalu Park.
Menurut Suhaimi, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Jabatan Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam pada itu, katanya, tiga mangsa yang cedera masih dirawat di Hospital Ranau.
"Lelaki yang merupakan kelindan bas berkenaan bagaimanapun telah sedar dan berada dalam keadaan stabil," ujarnya.

No comments:

Post a Comment