Search This Blog

Friday, May 14, 2010

Kanak-kanak Belanda berkeadaan baik



KANAK-kanak Belanda berusia 10 tahun yang merupakan mangsa tunggal yang terselamat dalam nahas pesawat Afriqiyah Airlines kelmarin, terus diberi rawatan rapi di hospital Tripoli. - AP


THE HAGUE 13 Mei - Satu-satunya mangsa yang terselamat dalam nahas pesawat Libya yang mengorbankan 103 nyawa semalam, mungkin kanak-kanak berusia sembilan tahun bernama Ruben van Assouw dari Tilburg, selatan Belanda, lapor akhbar tempatan hari ini.
"Kami menerima satu panggilan telefon dari pegawai, mengatakan budak lelaki yang kini dirawat di hospital Libya itu bernama Ruben," kata neneknya An van de Sande kepada akhbar Brabants Dagblad.
Kementerian Luar Belanda mengesahkan bahawa dua anggota keluarga yang berkemungkinan mempunyai kaitan dengan kanak-kanak yang cedera itu sedang dalam perjalanan ke Tripoli.
Akhbar tersebut melaporkan, kanak-kanak malang itu mengikuti kunjungan ke safari di Afrika Selatan bersama ibunya, Trudy, 41; dan bapanya Patrick, 40 dan abangnya, Enzo, 11.
Seramai 61 rakyat Belanda dipercayai maut apabila sebuah pesawat Afriqiyah Airways dari Johannesburg berkecai ketika mendarat kira-kira pukul 6 pagi semalam waktu tempatan (12 tengah hari waktu Malaysia semalam) di lapangan terbang Tripoli.
Sekurang-kurangnya 10 rakyat Afrika Selatan turut terbunuh, sementara kerakyatan 18 lagi mangsa masih belum dapat dipastikan. Menurut Kementerian Pengangkutan Libya, mangsa-mangsa lain merupakan warganegara Perancis, Jerman, Finland, Britain dan Libya.
Van de Sande berkata, dia dan ahli keluarga yang lain menanti perkembangan terbaru di lapangan terbang Brussels sepanjang hari semalam, jadi mereka tidak menonton rakaman televisyen yang memaparkan seorang kanak-kanak cedera di hospital.
"Ahli keluarga yang lain ada menonton rakaman itu, tetapi sukar untuk menentukan 100 peratus bahawa kanak-kanak itu ialah Ruben.
"Kami tidak faham dengan situasi ini. Kami terasa bagai dalam cerita wayang," katanya.
Pegawai Belanda semalam berkata, kanak-kanak yang terselamat itu telah menjalani pembedahan akibat tulang yang retak dan keadaannya kini dilaporkan stabil.
Jurucakap Kementerian Luar, Francesco Mascini tidak akan mengesahkan identiti kanak-kanak lelaki itu sehingga dua anggota keluarganya tiba.
Mascini berkata, dua ahli keluarga itu berlepas menaiki pesawat kerajaan kira-kira pukul 6 pagi ini waktu tempatan (12 tengah hari ini waktu Malaysia) dari lapangan terbang Rotterdam dan akan terus ke hospital sebaik mendarat pagi esok.
"Sehingga ahli keluarga tersebut melihat kanak-kanak ini, kami tidak boleh mengesahkan identitinya," ujar beliau. - AFP

No comments:

Post a Comment