Search This Blog

Monday, May 3, 2010

Hilang dua minggu kerana takut dimarahi bapa




KUALA LUMPUR - Seorang budak lelaki berumur 12 tahun yang hilang sejak 17 April lalu dan dikhuatiri diculik, akhirnya pulang semula ke rumahnya di Taman Samudera, Batu Caves, dekat sini, awal pagi semalam. 

Budak itu mengaku tidur di rumah kawan sepanjang kehilangannya kerana takut dimarahi bapanya. 

Mazlan Ibrahim, 12, dikatakan dihantar bapanya ke pasar raya di Batu Caves pada 17 April lalu untuk menemui seorang kawannya, namun sejak itu dia tidak pulang ke rumah. 

Kelmarin, bapa budak itu, Ibrahim Muhamad, 45, membuat sidang media kerana bimbang anaknya diculik dan merayu sesiapa yang mengambil Mazlan memulangkannya dengan segera. 

Ibrahim berkata, laporan polis tentang kehilangan anaknya juga sudah dibuat. 

"Pada 12.30 tengah malam, saya mendapat panggilan daripada seorang jiran yang memberitahu bahawa Mazlan dilihat di pasar larut malam di Sri Gombak, Batu Caves. 

“Sebaik mendapat panggilan itu, saya terus ke sana dan akhirnya menemui Mazlan dan membawanya pulang ke rumah,” katanya di sini, semalam. 

Ibrahim berkata, anaknya menginap di rumah rakannya di Sri Gombak sepanjang dua minggu tidak pulang ke rumah. 

“Saya tanya kenapa dia tak balik rumah, tak jawab panggilan telefon dan tak hantar SMS, lalu dia kata dia tidak mahu balik ke rumah sebab takut saya marah kerana dia mengikut rakannya itu. 

“Dia duduk di rumah bujang rakannya yang berumur 20-an," katanya. 

Ibrahim berkata, dia tidak mengenali pemuda itu dan hanya berjumpa dia ketika polis mengambil keterangan kedua-dua mereka pada jam 1 pagi semalam. 

“Anak saya berada dalam keadaan baik dan tiada sebarang tanda yang menunjukkan dia diculik,” kata Ibrahim. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah mengesahkan polis sudah mengambil keterangan daripada Mazlan dan rakannya berhubung kejadian itu. 

“Mangsa juga tidak mengalami sebarang kecederaan dan polis masih menjalankan siasatan berhubung kes ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment