Search This Blog

Tuesday, May 11, 2010

Dua pengarah syarikat didakwa pindah saham RM1.3 juta tanpa kebenaran

ALOR SETAR:Dua pengarah sebuah syarikat pembinaan hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap tuduhan meluluskan pemindahan saham syarikat bernilai RM1.3 juta tanpa kebenaran pemilik saham berkenaan.
Khairul Nizamullah Halim, 30, dan Haslinda Mohamad, 32, kedua-duanya dari Jitra, dituduh bersama-sama melakukan perbuatan itu di No 5 Lorong Pantai Halban 1, Taman Desa Perdana, Jitra, pada 22 Disember 2008.
Kedua-dua tertuduh yang merupakan pengarah syarikat Purata Abadi Sdn Bhd dituduh meluluskan pemindahan saham syarikat berkenaan milik Aznah Ahmad kepada Irmawaty Ahmad Rusdy yang berjumlah 1.3 juta unit.

Menurut pertuduhan, kelulusan pemindahan saham berkenaan dibuat melalui satu Resolusi Edaran Pengarah pada 22 Disember 2008 tanpa kebenaran Aznah.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 132 (1) Akta Syarikat 1965 (Akta 125) dibaca bersama dengan Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 132 (3) (b) Akta yang sama.

Jika sabit kesalahan mereka boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda sehingga RM30,000 atau kedua-duanya sekali.

Hakim Khairul Anuar Abdul Halim mengarahkan pasport kedua-dua tertuduh ditahan dan membenarkan mereka diikat jamin RM5,000 setiap seorang serta menetapkan Ahad ini untuk sebutan semula kes.

Kedua-dua tertuduh diwakili peguam Jagdeep Singh Deo.-Bernama

No comments:

Post a Comment