Search This Blog

Monday, May 31, 2010

Dua biras mati lemas Hari Keluarga



NORIZAL


MELAKA - Mohd. Norizal Mohd. Yusof, 31, dan Abu Muthalib Abu Bakar, 42, merupakan dua biras yang mempunyai hobi yang sama iaitu menjaring ikan dan udang.
Namun entah macam mana semalam merupakan hari malang buat mereka apabila kedua-duanya mati lemas ketika sedang menjala udang dalam kejadian air laut pasang di Pantai Padang Kemunting, Pengkalan Balak, Alor Gajah di sini.
Lebih menyayat hati, kedua-dua mangsa meninggal dunia ketika mereka menyertai Hari Keluarga yang membabitkan lebih 50 ahli keluarga lain yang datang dari Tampin, Negeri Sembilan.
Kumpulan yang kebanyakannya mempunyai tali persaudaraan itu berkumpul di pantai tersebut dengan menyewa beberapa buah calet di kawasan pantai itu.
Nasib baik dalam tragedi pada pukul 7 pagi, seorang lagi saudara kepada kedua-dua mangsa yang berada di pantai sama berjaya diselamatkan oleh seorang nelayan.
Cerita Mohd. Nor Mohd. Yusuf, 45, mangsa yang selamat, keadaan pantai itu pada hari kejadian tidak menunjukkan ada tanda-tanda air laut akan pasang.
"Selepas subuh saya seorang diri turun ke laut untuk mandi sebelum disusuli Norizal dan Abu Muthalib yang membawa jaring," katanya ketika ditemui di Hospital Melaka semalam.
Ceritanya lagi, Norizal dan Abu Muthalib kemudian mempelawanya untuk sama-sama menjaring udang.
"Saya memegang jaring manakala Norizal dan Abu Muthalib kemudian berjalan masuk ke laut bertujuan untuk memerangkap udang.
"Tiba-tiba saya dikejutkan dengan jeritan Norizal dan Abu Muthalib meminta tolong.
"Apabila saya toleh saya baru perasan air laut sudah pasang dengan saya sendiri yang berdiri paling hampir dengan pantai hampir lemas.
"Serentak itu juga ombak besar melanda dan menenggelam kedua-dua saudara itu," kata Mohd. Nor.
Mohd. Nor bernasib baik kerana dia dapat diselamatkan oleh seorang nelayan yang membawa bot kebetulan melalui pantai itu.

No comments:

Post a Comment