Search This Blog

Monday, May 3, 2010

Bekas askar dakwa dipukul empat pengawal HTAA



KUANTAN 2 Mei - Seorang bekas askar mendakwa dia mengalami lebam di muka dan pendarahan pada hidung akibat dipukul oleh empat orang pengawal keselamatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini kelmarin.
Madzlan Omar, 44, mendakwa, kejadian itu berlaku antara pukul 11.25 pagi hingga 12 tengah hari di hadapan lif bangunan hospital berkenaan.
Ketika kejadian, mangsa yang tinggal di Taman Murni Sungai Isap di sini mendakwa hendak menggantikan anak lelakinya, Mohd. Mazri Rozzaimi, 19, untuk menjaga isterinya yang kini dirawat di wad hospital berkenaan.
Madzlan mendakwa, ketika anaknya itu hendak memasuki hospital berkenaan, dia bagaimanapun telah dihalang oleh seorang pengawal keselamatan berusia lingkungan 20-an, yang kemudian mengarahkan anaknya itu supaya menghubunginya.
"Saya ingatkan dia suruh panggil untuk menjemput anak saya itu. Sebaliknya, sebaik sahaja dia nampak saya, pengawal keselamatan itu terus melepaskan tumbukan ke arah muka saya menyebabkan cermin mata saya pecah.
"Selepas itu, datang tiga lagi rakannya memegang saya dan menolak saya ke dinding. Salah seorang daripadanya turut menghantukkan kepala saya ke dinding. Seorang lagi rakannya memukul saya menggunakan topi keledar," dakwanya ketika ditemui di lobi hospital itu di sini hari ini.
Madzlan mendakwa, ketika kejadian, pengawal keselamatan terbabit bertindak menutup pintu bagi menghalang orang ramai daripada melihat kejadian itu.
Dakwanya, insiden itu hanya berakhir selepas seorang lagi rakan pengawal keselamatan itu datang dan meleraikan keadaan.
Bagaimanapun katanya, dia yang tidak berpuas hati dengan kejadian itu membuat aduan di bilik kawalan syarikat keselamatan berkenaan yang terletak hospital itu.
Namun, ketika di pejabat berkenaan, dakwa Madzlan, pergaduhan sekali lagi tercetus dan ia hanya disaksikan oleh penyelia syarikat keselamatan tersebut.
Jelasnya, dia yang tidak berpuas hati dengan kejadian itu kemudian memaklumkan kepada pihak pengurusan hospital yang kemudiannya dikatakan telah menghantar laporan ke ibu syarikat keselamatan tersebut berpusat di Kuala Lumpur.
"Saya turut membuat pemeriksaan kesihatan kerana bimbang kemungkinan mengalami pendarahan dalaman yang lebih serius," katanya yang telah membuat laporan polis pada hari kejadian.
Berikutan insiden tersebut, Madzlan berkata, dia bercadang untuk mengambil tindakan mahkamah yang akan difailkan ke atas syarikat keselamatan tersebut esok.
"Pihak pengurusan itu memaklumkan telah memindahkan pengawal keselamatan yang memukul saya ke tempat lain, tetapi pagi ini saya masih melihat dia bertugas di tempat sama.
"Dia tidak sepatutnya dibiarkan bertugas di kawasan melibatkan orang ramai kerana saya bimbang jika kejadian yang menimpa saya turut berlaku ke atas orang lain," dakwanya.
Mohd. Mazri Rozzaimi pula mendakwa, dia hanya mampu melihat bapanya dipukul kerana tubuhnya dipegang oleh dua orang pengawal keselamatan terbabit.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Supritendan Zulkifli Taha ketika dihubungi berkata, pihaknya akan menyiasat dakwaan bekas tentera itu.
Beliau turut meminta supaya kes seumpama itu tidak diperbesar-besarkan kerana dibimbangi hanya memberikan imej buruk terhadap hospital sehingga menggusarkan orang ramai yang datang untuk mendapatkan rawatan.
"Biar kita siasat dahulu kerana banyak kes yang dilaporkan sebelum ini hanya melibatkan selisih faham antara kedua-dua pihak," katanya.

No comments:

Post a Comment