Search This Blog

Sunday, May 9, 2010

Ada simptom ILI: Jangan ke tempat awam



09/05/2010 3:47pm

PUTRAJAYA - Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican hari ini menggesa mereka yang mempunyai gejala Influenza Like Illness (ILI) agar melaksanakan tanggungjawab sosial dalam usaha mengekang penularan virus Influenza A (H1N1).
Beliau berkata, mereka seharusnya tidak pergi ke tempat-tempat orang ramai berkumpul atau bersesak-sesak seperti sekolah, pusat-pusat latihan dan tempat kerja kerana penularan jangkitan itu cukup mudah berlaku di tempat-tempat sedemikian.
"Ibu bapa hendaklah memastikan anak-anak yang mengalami gejala ILI tidak dihantar ke sekolah, pengurus pusat-pusat latihan mengasingkan dengan segera pelatih yang sakit dan mereka yang bekerja tidak pergi ke tempat kerja atau ke tempat-tempat tumpuan awam yang lain.
"Jika mereka yang bersimptom ini terpaksa keluar dan berhubungan dengan orang lain, mereka diminta sentiasa memakai penutup hidung dan mulut dan mengamalkan adab batuk dan kebersihan diri yang baik bagi mengelakkan penyebaran virus kepada individu sihat yang lain,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Ismail berkata, sejumlah 41 kes baru dilaporkan sah positif Influenza A (H1N1) sehingga jam 5.30 petang semalam, menjadikan keseluruhan meningkat kepada 14,033 kes.
Beliau berkata, jumlah kes ILI yang masih dirawat di wad di seluruh negara adalah 655, di mana 14.5 peratus atau 95 daripadanya telah disahkan positif Influenza A (H1N1).
Sehingga pukul 8 pagi tadi, sejumlah empat kejadian kluster ILI dilaporkan dari tiga negeri iaitu 22 kes di Pusat Latihan Khidmat Negara Merang Suria, Setiu, Terengganu; 15 kes di Pusat Latihan Khidmat Negara Cheneh Cemerlang, Kemaman, Terengganu; 13 kes di Pusat Latihan Khidmat Negara Tangkas, Kuala Kangsar, Perak; dan 3 kes di Pejabat Kesihatan Daerah Batu Pahat, Johor. - Bernama

No comments:

Post a Comment