Search This Blog

Monday, May 3, 2010

6 korban bangunan runtuh

JEDDAH: Sebuah bangunan di pusat bandar raya ini runtuh, dipercayai akibat tindakan penduduknya menyimpan bekalan air di bumbung.
Enam kanak-kanak warga Somalia mati dalam kejadian itu.
“Kemungkinan berat tong air di atas bangunan berkenaan menyebabkan bangunan itu runtuh,” kata seorang pegawai kepada akhbar Arab News.

Sisa runtuhan itu termasuk beberapa tong plastik besar yang biasa digunakan oleh penduduk daerah itu yang kerap mengalami masalah air.

Kebanyakan penduduk di bangunan itu yang terletak di Jalan Lama Makkah di Daerah Al Sahifah, berhampiran Bab Makkah, terdiri daripada pekerja warga asing berpendapatan rendah.

Warga Saudi, Hussam, 55, yang menetap berhampiran bangunan itu berkata, bekalan elektrik ke kawasan itu diputuskan sebagai langkah berjaga-jaga.

Katanya, pegawai Jabatan Pertahanan Awam turut mengarahkan penduduk bangunan berhampiran berpindah sehingga ia diisytihar selamat.

“Keluarga saya sudah meninggalkan bangunan kediaman kami. “Bagaimanapun, saya akan terus berada di sini sehingga bekalan elektrik pulih,” katanya.

Menurut lelaki itu, kawasan berkenaan sering mengalami masalah air.

Keadaan itu menyebabkan penduduk menyimpan sendiri bekalan air dan menyorokkannya sebaik tangki air bangunan berkenaan diisi oleh lori yang menghantar bekalan air.

“Sewa agak rendah di sini tetapi kami sentiasa berdepan dengan masalah air,” katanya.

“Kami begitu sukar mendapat bekalan air. Setiap kali bekalan tiba, kami akan menyimpannya di dalam tong di rumah masing-masing,” kata Abdullah, 42, warga Somalia yang tinggal berhampiran tempat kejadian. — Agensi

No comments:

Post a Comment