Search This Blog

Friday, May 14, 2010

24 kes tipu jual tanah

KUALA LUMPUR: Sebanyak 24 kes penipuan urus niaga tanah bernilai RM48.5 juta berjaya dikesan di sekitar Kuala Lumpur dari 2001 hingga sekarang membabitkan individu dan pemilik syarikat.
Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan (PTGWP) Hasim Ismail berkata, daripada jumlah itu, 16 kes masih dalam siasatan polis, lima kes sedang menunggu Laporan Audit Trail dan tiga kes di bawah penelitian Pejabat Timbalan Pendakwa Raya.
“Buat sementara semua tanah berkenaan diletakkan kaveat pendaftar sehingga mahkamah memutuskan,” katanya pada sidang akhbar sempena program Hari Bertemu Pelanggan PTGWP di ibu pejabatnya di sini semalam.

Program dirasmikan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dan turut dihadiri Pengerusi Sirim Berhad, Datuk Jamaliah Kamis.

Menurut Hasim, antara penipuan yang dilakukan membabitkan pertukaran hak milik tanah secara tidak sah dengan menggunakan identiti pihak ketiga dan memalsukan maklumat peribadi.

Katanya, PTGWP memperkenalkan sistem biometrik pada tahun 2008 untuk mengelak kes penipuan dan pemalsuan hak milik tanah.

“Dua kes baru melibatkan penipuan dikenalpasti lebih awal menerusi sistem biometrik dan secara keseluruhannya ia dapat membantu Pentadbiran Tanah mengatasi masalah penipuan,” katanya.

Sementara itu, Raja Nong Chik berkata proses urus niaga tanah terutama bagi mereka yang layak perlu diuruskan secara telus dan cepat bagi menjamin rakyat mendapat hak mereka. - Bernama

No comments:

Post a Comment