Search This Blog

Tuesday, May 11, 2010

2 lelaki ditahan edar ubat batuk terbesar



KUALA TERENGGANU 10 Mei - Polis yakin dapat melumpuhkan kegiatan pengedaran ubat batuk terbesar di negeri ini berikutan penahanan dua lelaki termasuk seorang bekas penuntut universiti dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Kolam, Mengabang Telipot, dekat sini 6 Mei lalu.
Dalam serbuan pada pukul 1.10 petang itu, polis berjaya menemui 25 tabung plastik putih berisi ubat batuk bernilai RM10,000 daripada kedua-dua suspek yang berusia 25 dan 32 tahun.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Negeri, Supritendan Roslan Abdul Wahid berkata, siasatan polis percaya rumah itu telah dijadikan stor penyimpanan dan pengedaran ubat batuk.
Katanya, ketika serbuan, seorang daripada suspek cuba melarikan diri tetapi gagal manakala seorang lagi ditemui bersembunyi di dalam tandas rumah itu.
"Hasil pemeriksaan, polis menemui sejumlah tabung berisi ubat batuk di dalam bilik tidur utama.
"Kedua-dua mereka ditahan di bawah Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan direman sehingga Khamis ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurutnya, kesemua ubat batuk tersebut mengandungi dadah jenis kodin dan mendapat permintaan tinggi di kalangan penagih bahan itu di negeri ini.
Katanya, pihaknya percaya bekalan ubat batuk tersebut diperolehi dari negeri pantai barat Semenanjung.
Roslan berkata, kedua-dua suspek yang juga penagih dadah jenis pil kuda mengaku ubat batuk itu adalah untuk dijual dan bagi kegunaan sendiri.

No comments:

Post a Comment