Search This Blog

Sunday, May 30, 2010

2 kanak-kanak rentung dalam kebakaran rumah kedai



BOMBA mengangkat mayat kanak-kanak yang rentung dalam kejadian kebakaran di sebuah rumah kedai di jalan Shantung, Penampang, semalam.


PENAMPANG 29 Mei - Seorang bapa melalui detik-detik menyayat hati apabila hanya mampu mendengar jeritan meminta pertolongan daripada anaknya sebelum kanak-kanak itu rentung dalam kebakaran bersama seorang lagi anak jirannya.
Mangsa yang terbunuh dalam kebakaran memusnahkan tiga buah blok bangunan papan itu ialah Jilel Ashier, 3, dan Azmil Izman, 5.
Kejadian berlaku pada pukul 10.50 pagi ketika Izman Mansur, 20, sedang tidur di ruang tamu rumah kedai yang disewanya di aras dua, Jalan Shantung di sini.
Bagaimanapun tiba-tiba dia dikejutkan oleh anak perempuannya yang memaklumkan tentang kebakaran tersebut.
Izman berkata, dia yang panik kerana api telah marak, lantas terjun daripada tingkat dua rumah itu bersama isteri dan anak perempuannya serta jiran-jirannya.
"Namun malangnya saya tertinggal anak saya, Azmil. Saya hendak naik semula ke rumah tetapi api telah marak.
"Saya tidak boleh berbuat apa- apa dan hanya mampu mendengar jeritan meminta pertolongan kedua-dua mereka (Jilel dan Azmil) dari tandas," ujarnya.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri, Khirudin Drahman berkata, kedua-dua mangsa dipercayai terperangkap di dalam tandas rumah berkenaan.
Katanya, ketika ditemui mayat kedua-duanya dalam keadaan berpelukan.
"Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth di Kota Kinabalu untuk bedah siasat. Kita masih menyiasat punca kebakaran dan jumlah kerugian," katanya.
Beliau memberitahu, sebanyak tiga buah jentera bomba dan penyelamat bersama 24 anggota terlibat dalam operasi memadamkan kebakaran itu.

No comments:

Post a Comment