Search This Blog

Monday, May 3, 2010

16 pelajar, cikgu dirasuk

JOHOR BAHRU: Guru di sebuah sekolah di sini dihantui keresahan apabila dalam tempoh tiga hari berturut-turut 16 pelajar termasuk seorang cikgu secara-tiba-tiba meraung dan menangis tanpa sebab dipercayai menjadi mangsa amukan ‘lima makhluk halus.’
Keadaan menjadi lebih cemas apabila beberapa guru terpaksa mengejar seorang pelajar perempuan tingkatan empat selepas dia yang dirasuk cuba terjun dari tingkat tiga bangunan sekolah berkenaan. Risau kejadian sama berulang pihak sekolah mengarahkan guru lelaki mengawal keadaan dan menjaga pelajar perempuan yang dirasuk.
Difahamkan, kejadian pertama dilaporkan Rabu lalu membabitkan tiga pelajar diikuti enam lagi pada Khamis dan kemuncak rasukan berlaku Jumaat membabitkan enam pelajar tingkatan empat serta seorang guru wanita.

Semua kejadian histeria di Sekolah Menengah Tasek Utara 2 itu dikatakan berlaku pada jam 8 pagi iaitu ketika sesi persekolahan pagi baru bermula.

Menurut seorang guru yang enggan dikenali, kejadian bertambah teruk pada Jumaat menyebabkan dia dan beberapa lagi guru kelam-kabut untuk mengawal keadaan.

“Serangan membabitkan pelajar dari kelas dan blok berlainan menyebabkan kami terpaksa berkejar ke sana ke mari dalam masa sama berikutan risau berlaku perkara tidak diingini.

“Lebih teruk apabila makhluk halus yang merasuk seperti berpindah dari seorang pelajar ke pelajar lain dalam masa singkat. Bila pelajar pertama dapat dikawal, ia akan berpindah ke pelajar lain hingga menimbulkan suasana kecoh,” katanya.

Bagi mengelak keadaan menjadi lebih buruk, pihak sekolah mendapatkan bantuan pakar agama daripada Persatuan Pengubatan Islam Malaysia Darussyifa (Darussyifa) selain dibantu beberapa imam sebelum keadaan reda. Kata guru itu, dia dimaklumkan pengamal perubatan Darussyifa, kejadian serangan itu berpunca akibat kemarahan lima makhluk halus berkenaan berikutan individu tertentu mengganggu tempat tinggal mereka. “Memang takut apabila melihat muka lima pelajar yang terbaring ketika dipulihkan mula berubah menjadi merah padam seperti orang sedang marah, tidak kurang ada juga yang kelihatan pucat,” katanya.

Timbalan Pengarah Pelajaran Johor, Markom Giran ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu menyebabkan pihaknya mendapatkan bantuan Darussyifa’.

“Sebelum ini kejadian histeria tidak pernah berlaku dan ia kejadian pertama sejak sekolah berkenaan mula beroperasi,” katanya.

No comments:

Post a Comment