Search This Blog

Sunday, May 9, 2010

143,067 DVD cetak rompak dirampas





KOH Ah Tiam (dua kanan) menunjukkan DVD yang berjaya dirampas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuantan, kelmarin.


BENTONG 8 Mei - Polis menahan sembilan lelaki yang sedang leka membungkus cakera video digital (DVD) dalam serbuan di sebuah bangunan tiga tingkat di Genting Sempah dekat sini, kelmarin.
Dalam serbuan itu, polis turut merampas 143,067 keping DVD cetak rompak pelbagai tajuk dianggarkan bernilai kira-kira RM110,000.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Deputi Supritendan Koh Ah Tiam berkata, rampasan DVD itu adalah yang terbesar di Pahang setakat ini.
Beliau berkata, serbuan tersebut dilakukan oleh 20 anggota dan pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong.
Katanya, hasil siasatan mendapati, bangunan tiga tingkat itu dijadikan tempat menyimpan, membungkus dan pusat edaran DVD cetak rompak sejak tiga minggu lalu.
Tambahnya, tiada sebarang peralatan mencetak atau senjata ditemui dalam serbuan tersebut.
"Hasil pemeriksaan polis juga mendapati, bangunan kediaman itu dijadikan transit menyimpan DVD sebelum diedarkan ke Selangor, Kuala Lumpur dan kawasan sekitar," katanya di sini semalam.
Menurut Ah Tiam lagi, ketiga-tiga lelaki itu berusia antara 19 hingga 36 tahun kini ditahan reman sehingga Isnin ini bagi membantu siasatan.
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 6(1)(a) Akta Penapisan Filem 2002 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali, katanya.

No comments:

Post a Comment