Search This Blog

Saturday, April 17, 2010

Suri rumah rugi RM228,000





SEGAMAT 16 April - Seorang surirumah yang memiliki diploma dalam bidang teknologi maklumat kerugian RM228,000 akibat ditipu oleh satu skim pelaburan Internet.
Ibu kepada enam orang anak itu bukan sahaja kehilangan wang, malah sejumlah barang kemas dan tanah milik keluarga yang digadaikannya untuk melabur dalam skim berkenaan turut lesap.
Wanita berusia 32 tahun itu yang enggan namanya disiarkan berkata, dia mula terjebak dalam penipuan itu setelah menerima satu kiriman e-mel pada Disember lalu.
"Selepas menerima e-mel itu, saya melayari laman web 'Global Security Company Malaysia' dan ia meminta saya memasukkan wang sebanyak RM98,000 kerana akan mendapat pulangan sebanyak AS$48 juta (RM153.6 juta) dalam tempoh waktu tertentu.
"Sejak Disember tahun lalu sehingga bulan ini, saya memasukkan wang tunai sebanyak lapan kali melalui mesin di dua buah bank dan saya juga telah diberikan sijil kerana menyertai skim tersebut," katanya kepada Utusan Malaysia selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Segamat di sini hari ini.
Wanita yang berasal dari Pekan Jabi itu bagaimanapun mula mengesyaki sesuatu tidak kena mengenai pelaburannya lalu membuat pemeriksaan di Bursa Malaysia pada awal bulan ini untuk mengetahui lebih lanjut.
"Saya amat terkejut bila mendapati tiada nama syarikat tersebut yang tersenarai di Bursa Malaysia, apa yang ada cuma sebuah syarikat yang mempunyai nama hampir sama," katanya dalam nada sebak.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Segamat, Supritendan Abdul Majid Mohd. Ali berkata, syarikat pelaburan Internet tersebut dipercayai menjalankan operasinya berpangkalan di Pulau Pinang.
"Pihak polis masih menyiasat kes ini mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
"Saya ingin menyeru kepada orang ramai agar berhati-hati apabila berurusan di dalam Internet agar tidak terpedaya dengan mana-mana skim penipuan," katanya.

No comments:

Post a Comment