Search This Blog

Thursday, April 29, 2010

Sarimah tarik balik saman RM1 juta terhadap The Malaysian Tatler



KUALA LUMPUR 28 April - Seniwati Datuk Sarimah Ahmad menarik balik saman fitnah RM1 juta yang dikemukakan oleh beliau terhadap penerbit dan pencetak majalah The Malaysian Tatler, lima tahun lalu.
Dengan tindakan tersebut, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Balia Yusof Wahi hari ini membatalkan tuntutan saman berkenaan tanpa kos ketika kes itu disebut di kamar beliau di sini.
Sarimah, 68, selaku plaintif memfailkan saman tersebut pada 17 Mei 2005 kerana mendakwa satu artikel dalam majalah bulanan berbahasa Inggeris itu bagi keluaran Ogos 2001 telah memfitnah keperibadian dan pegangan agamanya.
Beliau menamakan penerbit majalah berkenaan, Illustrated Magazine Publishing Sdn. Bhd. sebagai defendan pertama dan pencetaknya, Percetakan Osacar Sdn. Bhd. defendan kedua.
Pelakon veteran itu yang diwakili oleh peguam Vanuja Dewi Nambiar bersetuju menarik balik saman berkenaan tanpa kebebasan untuk memfailkan semula saman baru.
Kes itu sepatutnya dibicarakan selama tiga hari mulai hari ini. Plaintif mahupun kedua-dua defendan tidak hadir di mahkamah.
Pada prosiding hari ini, defendan pertama diwakili oleh peguam Kimberly Lee, manakala Rubini Thirugnanam mewakili defendan kedua.
Menurut pernyataan tuntutannya, Sarimah yang diperkenalkan oleh Allahyarham Tan Sri P. Ramlee menerusi filem Ali Baba Bujang Lapok menyatakan, artikel yang didakwa memfitnahnya itu bertajuk Fast Amongst Equals dan di bawah tajuk kecil SARIMAH AHMAD.
Dakwanya, kata-kata fitnah itu bermaksud atau difahamkan membawa maksud beliau sebelum ini bukan seorang yang jujur dan mempunyai pegangan agama yang longgar serta seorang yang tidak sensitif, sedih atau beremosi atas kematian suaminya ketika itu, Allahyarham Yusuf Majid.
Di samping itu, artikel itu bermaksud atau membawa maksud bahawa beliau tiada perasaan terhadap Allahyarham dan seorang oportunis yang berkahwin dengan Senator Dr. Nordin Selat (kini bekas suami) secara terburu-buru.
Sarimah yang pernah memenangi anugerah Aktres Terbaik Festival Filem Malaysia Kedua menerusi filem Dia Ibuku pada 1981 menuntut ganti rugi am RM500,00 ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan masing-masing sebanyak RM250,000, faedah, kos serta injunksi.
Sementara itu, kedua-dua defendan dalam pernyataan pembelaan masing-masing pula menafikan bahawa perkataan-perkataan tersebut adalah berunsur fitnah terhadap plaintif.
Dakwa mereka lagi, perkataan-perkataan terbabit adalah ulasan saksama yang berkepentingan awam, berhubung kehidupan dan kelakuan seorang pelakon wanita yang mempunyai reputasi pada pandangan orang awam.

No comments:

Post a Comment