Search This Blog

Saturday, April 17, 2010

Sangka nahas rupanya dibunuh

NIBONG TEBAL: Mulanya dia disangka mati kemalangan kerana kereta dipandunya dilihat terbabas di kawasan tapak pembinaan jejantas di Jalan Paboi, Bukit Tambun, dekat sini, awal pagi semalam.
Bagaimanapun, pemeriksaan polis mendapati lelaki terbabit, Lim Gim Beng, 52, menjadi mangsa bunuh dengan kepalanya dihentak menggunakan batu konkrit.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi, Lim dari Taman Tang Ling, dekat sini, ditemui mati bersebelahan kereta Proton Saga Aeroback putih dengan nombor pendaftaran PDL 2632.

Orang awam yang ternampak mangsa menghubungi polis sebelum anggota Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan (IPDSPS) bergegas ke tempat kejadian untuk menyiasat.

Bagaimanapun, sangkaan lelaki berkenaan terbabit kemalangan meleset apabila polis mendapati mangsa parah di belakang kepala.Ketua Polis Daerah SPS, Superintendan Shafien Mamat, berkata kepala mangsa dipercayai dihentak dengan batu konkrit selepas pihaknya menemui objek berkenaan berdekatan keretanya yang mempunyai kesan darah.

Katanya, siasatan awal mendapati ada tiga kesan pukulan di belakang kepala mangsa sebelum dia rebah di luar kereta dan maut di tempat kejadian.

“Siasatan mendapati sebelum kejadian, keretanya terbabit kemalangan kecil dengan sebuah kereta lain di lampu isyarat Bukit Panchor, dekat sini, sebelum mangsa mengejar pemandu kereta terbabit 15 kilometer sehingga Jalan Sungai Bakap.

“Dalam adegan mengejar itu, mangsa menunjukkan isyarat lucah sebelum kedua-dua mereka yang tidak mengenali terbabas di Jalan Sungai Bakap.

“Selepas itu, berlaku pergelutan sebelum suspek mengambil batu konkrit dan memukul kepala mangsa menyebabkan dia mati di tempat kejadian,” katanya dalam sidang media di sini, semalam.

Menurutnya, pihaknya turut menemui nombor plat kenderaan suspek, PJP 4716 dipercayai terjatuh ketika kejadian.

“Berdasarkan siasatan melalui laman web Jabatan Pengangkutan Jalan, kami mengesan identiti suspek yang beralamat di Taman Alma, Bukit Mertajam.

“Ketika polis ke rumah suspek, dia tiada dipercayai menghilangkan diri selepas mengetahui dicari. Namun, hasil perbincangan melalui telefon, dia bersetuju menyerah diri di Balai Polis Simpang Ampat, jam 11 pagi tadi (semalam),” katanya.

Shafien berkata, suspek yang berusia 42 tahun dan bekerja sebagai pekerja am di sebuah syarikat pengangkutan dipercayai mabuk ketika kejadian selepas minum di Parit Buntar, Perak.

Berdasarkan rekod, katanya, suspek pernah ditahan atas kesalahan judi.

Menurutnya, mangsa dihantar ke Hospital Sungai Bakap untuk dibedah siasat dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Berikutan penahanan suspek, katanya, kes berkenaan diselesaikan tidak sampai sembilan jam selepas kejadian.

“Hasil maklumat awam, kes ini diselesaikan dalam tempoh singkat dan saya meminta mereka yang menyaksikan kejadian tampil bagi melengkapkan siasatan,” katanya.

No comments:

Post a Comment