Search This Blog

Saturday, April 17, 2010

Rayuan Anwar batal tuduhan liwat 4 Mei



PUTRAJAYA 16 April - Rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan mengekalkan pertuduhan liwat terhadapnya akan didengar di Mahkamah Persekutuan pada 4 Mei ini.
Salah seorang peguam yang mewakilinya, Sankara Nair memberitahu pemberita, tarikh itu dimaklumkan melalui faksimile oleh Pejabat Pendaftaran Mahkamah Persekutuan, Istana Kehakiman di sini hari ini.
Anwar merayu setelah tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Rayuan pada 17 Februari lalu yang sebulat suara menolak rayuannya agar pertuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, 25, dibatalkan.
Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Wira Abu Samah Nordin itu turut menolak permohonan lisan Anwar selaku perayu agar keputusan tersebut digantung sementara menunggu rayuan di Mahkamah Persekutuan.
Mahkamah menolak permohonan lisan itu atas alasan ia tidak sempurna kerana tidak disertai dengan notis usul dan afidavit sokongan.
Ketua Pembangkang itu merayu terhadap keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah pada 1 Disember tahun lalu yang menolak permohonannya agar tuduhan liwat tersebut dibatalkan.
Dalam permohonannya, Anwar memberi alasan bahawa tuduhan berkenaan berniat jahat, menindas dan menyalahgunakan proses mahkamah selain satu konspirasi politik serta muslihat jahat sama seperti pertuduhan yang dihadapinya pada 1998.
Anwar didakwa meliwat Mohd. Saiful Bukhari di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, No. 99 Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di ibu negara di antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.
Perbicaraan kes itu di hadapan Hakim Mohamad Zabidin akan bersambung pada 10 Mei ini.

No comments:

Post a Comment