Search This Blog

Saturday, April 17, 2010

Penyamun hantuk ala Zidane

SUBANG JAYA: Bagai aksi pemain terkemuka Perancis, Zinedine Zidane menghantukkan kepala di dada pertahanan Itali, Marco Materazzi pada pusingan akhir Piala Dunia Jerman, seorang penyamun menggunakan taktik sama apabila menghantukkan kepalanya ke kepala mangsanya sebelum menyamun wang RM50,000.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang kelmarin, mangsa berusia 37 tahun baru keluar dari bank di SS19 di sini, selepas mengeluarkan RM50,000 sebelum memasukkan dalam beg komputer ribanya. Difahamkan mangsa yang juga seorang kontraktor mengeluarkan wang berkenaan untuk membayar gaji pekerjanya serta hal berkaitan kontrak kerjanya. Sumber berkata, ketika mangsa menuju keretanya, dia melihat dua lelaki mencurigakan keluar dari Proton Persona berwarna hitam.
“Mangsa mempercepatkan langkahnya, bagaimanapun dua lelaki itu mengejar sebelum seorang daripada suspek menghantukkan kepalanya ke kepala mangsa dengan kuat menyebabkan mangsa terjatuh di tepi longkang. “Kedua-dua suspek disyaki warga asing itu berdasarkan loghat percakapan mengambil beg milik mangsa sebelum melarikan diri,” katanya.

Sumber berkata, mangsa mendapatkan rawatan di klinik berhampiran dengan dibantu orang awam yang ternampak mangsa di longkang itu.

Selain RM50,000, mangsa kehilangan beberapa dokumen penting yang tersimpan dalam beg disamun itu termasuk geran kereta. Sehubungan itu, mangsa membuat laporan di balai polis berdekatan.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar yang mengesahkan kejadian itu, berkata kedua-dua suspek berusia 25 tahun dan 35 tahun itu masih diburu.

No comments:

Post a Comment