Search This Blog

Saturday, April 17, 2010

Penerbangan ke Eropah terjejas



ASAP hitam berkepul-kepul naik ke udara kesan daripada gunung berapi di bawah glasier Eyjafjallajokull di Iceland, kelmarin. Letusan kedua ini memaksa banyak penerbangan di Eropah terpaksa dibatalkan. - AP


HONG KONG 16 April - Syarikat-syarikat penerbangan di seluruh Asia Pasifik terpaksa menjadualkan semula atau membatalkan penerbangan hari ini selepas kepulan besar abu gunung berapi menyelubungi ruang udara Eropah.
Dari Wellington hingga ke Tokyo, penumpang yang mahu ke Eropah kini terpaksa menunggu dalam keadaan tidak pasti bila penerbangan hendak disambungkan ketika gunung berapi di bawah glasier Eyjafjallajokull di Iceland yang meletus, sekali gus mencetuskan masalah trafik udara terbesar sejak serangan pengganas 11 September 2001.
Syarikat penerbangan memberi amaran kepulan abu gunung berapi itu mengambil masa beberapa hari untuk mendap, menyebabkan beribu-ribu penumpang terkandas di lapangan terbang.
Qantas Airways di Australia berkata, penerbangan ke London dan Frankfurt mungkin tidak dapat dilakukan sehingga hujung minggu ini.
Jurucakapnya, David Epstein meminta penumpang agar tidak ke lapangan terbang kerana penerbangan tidak akan dibuat dalam masa terdekat.
Lima penerbangan 24 jam dari Australia ke Eropah semalam dihentikan ketika ia berhenti mengisi minyak di Singapura, Hong Kong dan Bangkok, memaksa penumpang bermalam di hotel.
Air New Zealand membatalkan penerbangan ulang-alik dari London, dengan pengurus besar kumpulan antarabangsa syarikat itu, Ed Sims menyatakan penumpang berdepan dengan 'situasi tidak pasti'.
Japan Airlines (JAL) membatalkan sembilan penerbangan ulang-alik ke Paris, Amsterdam, London, Milan dan Frankfurt, menyebabkan lebih 2,000 penumpang terkandas.
Tindakan serupa diambil All Nippon Airways yang membatalkan enam penerbangan melibatkan lebih 1,500 orang.
Walaupun tidak dapat dilihat dari bawah, abu gunung berapi sangat bahaya kepada pesawat kerana ia menyebabkan enjin tersekat dan mengurangkan jarak penglihatan.
Anggaran sebanyak 5,000 hingga 6,000 penerbangan dibatalkan semalam sahaja ketika abu berwarna kelabu merentasi utara Lautan Atlantik. - AFP

No comments:

Post a Comment