Search This Blog

Saturday, April 3, 2010

Pencetak risalah ah long juga dikena tindakan



JOHOR BAHRU 2 April - Polis akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang mencetak risalah dan poster ah long di negeri ini sebagai usaha terbaru membanteras kegiatan berkenaan secara holistik.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff (gambar) berkata, mereka yang didapati terlibat mencetak poster dan risalah itu akan dikenakan tindakan mengikut Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan Langkah- Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985.
"Sebelum ini kita hanya mengambil tindakan terhadap ah long saja tetapi dalam usaha untuk membanteras kegiatan itu secara menyeluruh mereka yang mencetak risalah juga akan dikenakan tindakan.
"Selain LPPK, individu yang bekerjasama dengan ah long boleh didakwa di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara tiga tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya sekali," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Pemakaian Pangkat Anggota Pangkat Rendah (APR) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.
Seramai 126 anggota polis Johor dinaikkan pangkat dalam majlis itu. Turut hadir Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Datuk Amer Awal.
Mohd. Mokhtar berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut termasuk mengenal pasti individu yang disyaki membantu ah long mencetak iklan-iklan terbabit.
"Malah, polis juga telah mengenal pasti dan menangkap beberapa ah long yang disyaki bergiat aktif di negeri ini.
"Polis sedang melengkapkan kertas siasatan untuk dibawa kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi tindakan lanjut terhadap ah long terbabit yang sepatutnya 'meletakkan jawatan jadi manusia' kerana menyusahkan peminjam dan keluarga peminjam," katanya.
Beliau berkata, polis juga akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini bagi membantu menurunkan segala poster berkaitan pinjaman wang haram bagi memastikan negeri ini bebas dari pencemaran poster ah long.

No comments:

Post a Comment