Search This Blog

Wednesday, April 28, 2010

Mohd. Nasir diminta tarik kenyataan



ALOR SETAR 27 April - Persatuan Kerabat Diraja Kedah menggesa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubang Rotan, Mohd. Nasir Mustafa yang mengemukakan soalan kontroversi pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam, agar segera memohon ampun kepada Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah.
Yang Dipertuanya, Datuk Tengku Zainol Rashid Tengku Yahya (gambar) berkata, Persatuan Kerabat Diraja Kedah mencela perbuatan sombong dan angkuh wakil rakyat berkenaan.
"Pihak kami mahu Mohd. Nasir menarik balik kenyataannya dalam bentuk soalan yang dikemukakan kepada DUN dan segera menghadap sultan untuk memohon ampun.
"Ini kerana walaupun soalan tersebut telah diketepikan oleh Speaker, Datuk Dr. Isa Ismail, namun ia masih tidak ditarik balik oleh ADUN berkenaan dan masih lagi di dalam rekod Dewan," katanya di sini hari ini.
Semalam, Persidangan DUN panas gara-gara dua soalan yang dikemukakan oleh Mohd. Nasir dibantah oleh Ketua Pembangkang, Datuk Mahdzir Khalid.
Keadaan tegang berlaku di dalam Dewan selama 20 minit dan akhirnya Dr. Isa bertindak menarik balik soalan tersebut iaitu sejauh manakah bidang kuasa sultan sebagai ketua agama islam di negeri ini dihormati oleh kerajaan Pusat.
Satu lagi soalan yang dibantah tentang setakat manakah tahap tidak boleh campur tangan kerajaan negeri Kedah dalam pentadbiran hal ehwal agama Islam.
Menurut Zainol, pihaknya juga mahu Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak selaku ketua kerajaan negeri menghadap sultan bagi memberikan penjelasan berhubung isu berkenaan.
"Semalam satu titik hitam telah terjadi di dalam sejarah negeri ini di mana seorang ADUN dengan disokong oleh rakan-rakannya telah melampaui batas dan adab kemelayuan dengan mempersoalkan kuasa sultan sebagai ketua agama Islam di negeri ini.
"Soalan tersebut jelas menghina Tuanku Sultan yang mana kuasanya sebagai ketua agama Islam dijamin di dalam Undang-Undang Tubuh Negeri," katanya.
Jelas beliau, pihak persatuan tidak memihak pada mana-mana parti politik namun apabila ia berkaitan dengan institusi raja, pihaknya akan menentang sebarang usaha yang diambil untuk mempolitikkan perkara itu.
"Pihak kami juga tidak mahu melihat perkara yang sama berulang dan jangan sesekali mempertikaikan kuasa sultan sebagai ketua agama Islam di negeri ini," tambahnya.

No comments:

Post a Comment