Search This Blog

Saturday, April 17, 2010

Mangsa maut kini 791 orang



PENDUDUK-penduduk Tibet memegang budak perempuan berusia 13 tahun yang berjaya dikeluarkan daripada runtuhan bangunan setelah tertimbus selama lebih 50 jam berikutan gempa bumi di bandar Yushu, wilayah Qinghai, China, semalam. - REUTERS


JIEGU China 16 April - Pekerja penyelamat hari ini memeriksa runtuhan bangunan bagi mengesan bunyi atau sebarang pergerakan dalam usaha menemui mangsa hidup yang masih terperangkap lebih 48 jam selepas satu gempa bumi sekuat 7.1 pada skala Richter menggegar barat China, mengorbankan sekurang-kurangnya 791 nyawa.
Mangsa yang terselamat terpaksa tidur dalam keadaan kesejukan buat hari kedua malam tadi memandangkan bantuan masih belum tiba di kawasan pergunungan terpencil Tibet tersebut.
Mangsa yang patah tangan dan kaki menangis kesakitan kerana pasukan perubatan hanya dapat memberikan rawatan ringan berbanding suntikan.
Seorang doktor di hospital wilayah Qinghai di mana mangsa yang cedera parah ditempatkan berkata, dia tidak tahu berapa ramai mangsa yang telah dirawat kerana tiada masa untuk mengira bilangan pesakit.
Mangsa-mangsa yang terselamat dilihat merayau-rayau di jalan raya berdebu Jiegu, di mana pekerja bantuan menganggarkan 70 hingga 90 peratus rumah yang diperbuat daripada kayu dan lumpur di pekan itu runtuh.
Beratus-ratus mangsa berkumpul untuk tidur di sebuah plaza di sekeliling sebuah patung mitos Raja Tibet, Gesar setinggi 15 meter, dengan diselubungi selimut yang diambil dari rumah-rumah yang ranap dalam kejadian kelmarin.
Agensi berita Xinhua hari ini melaporkan, angka kematian telah meningkat kepada 791 dengan 294 dilaporkan hilang.
Laporan sama menyebut, seramai 11,477 cedera sementara 1,174 yang lain berada dalam keadaan parah.
Stesen televisyen China Central melaporkan, kira-kira 40,000 khemah akan dibekalkan esok, cukup untuk kegunaan semua mangsa terselamat, manakala lebih banyak kelengkapan akan dihantar bagi membantu kerja-kerja memeriksa runtuhan bagi mengesan tanda-tanda mangsa masih hidup.
Lokasi gempa bumi yang bergunung-ganang dan terpencil dengan ketinggian 4,000 meter, turut mengakibatkan sebahagian pekerja penyelamat dan anjing pengesan mereka mengalami masalah pernafasan dan sakit. - AP

No comments:

Post a Comment