Search This Blog

Saturday, April 17, 2010

Lelaki tunjuk isyarat lucah dibunuh



NIBONG TEBAL 16 April - Akibat memandu semasa mabuk, seorang lelaki yang terlanggar sebuah kereta hilang kewarasannya sehingga sanggup membunuh pemandunya dalam satu perselisihan faham.
Kejadian berlaku pada pukul 2.30 pagi di Jalan Paboi dekat Bukit Tambun apabila mangsa, Lim Gin Beng, 52, menunjukkan isyarat lucah kepada suspek.
Berikutan itu, suspek yang berang, bertindak mengejar Gin Beng dengan keretanya sejauh 15 kilometer bersama-sama seorang rakannya sebelum memukul mangsa dengan seketul batu-bata.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Supritendan Shafien Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan orang awam berhubung penemuan mayat mangsa pada pukul 4.10 pagi.
Katanya, ketika ditemui mayat mangsa berada bersebelahan keretanya yang terbabas di kawasan itu.
"Sekali pandang, ia kelihatan seperti kemalangan jalan raya, namun hasil pemeriksaan menemui tiga kesan pukulan di bahagian kiri kepala mangsa.
"Polis mendapati pintu hadapan di bahagian penumpang terbuka selain menemui seketul batu-bata dengan kesan darah," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata, siasatan turut menemui kesan brek pada jalan tersebut selain terdapat geseran pada kereta mangsa dipercayai dilanggar kereta lain.
Katanya, polis juga menemui sekeping nombor plat kereta di kawasan itu sebelum membuat pemeriksaan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
"Hasilnya mendapati nombor pendaftaran kereta itu adalah milik seorang lelaki beralamat di Alma, Bukit Mertajam.
"Pihak kami mencari suspek di rumahnya namun gagal lalu menghubungi suspek melalui nombor telefon diberikan JPJ," katanya.
Beliau berkata, hasil perbualan dengan suspek, polis berjaya memujuknya sehingga dia menyerah diri di Balai Polis Simpang Ampat kira-kira pukul 11 pagi ini.
"Suspek juga menceritakan kepada polis apa yang berlaku," ujarnya lagi.
Menurutnya, sebelum kejadian, suspek yang berusia 42 tahun minum minuman keras di Bukit Panchor di sini dan semasa dalam perjalanan pulang terlanggar kereta mangsa berhampiran lampu isyarat.
"Mangsa telah menunjukkan isyarat lucah kepada suspek menyebabkan dia dikejar lalu bergesel dan terbabas di Jalan Sungai Bakap sehingga berlaku pergaduhan," katanya.
Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sungai Bakap untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati.

No comments:

Post a Comment