Search This Blog

Saturday, April 17, 2010

Lawan lima perompak

BANGI: Tindakan berani seorang lelaki melawan lima penjenayah yang menceroboh masuk rumahnya menyebabkan dia, bapa dan adiknya cedera dibelasah dalam kejadian di Sungai Merap Luar, di sini, kira-kira 2.50 pagi, Rabu lalu.
Muadz Rabuan, 25, berkata ketika kejadian dia sedang berehat di ruang tamu sambil menonton televisyen sementara menunggu perlawanan bola sepak sebelum terdengar bunyi seperti orang mengumpil cermin pintu rumah.

Katanya, belum sempat bangun, seorang perompak menekan dan menekap mulutnya sehingga berlaku pergaduhan sambil dia menjerit meminta tolong bapa dan juga adiknya.

Muadz berkata, bapa, Rabuan Sulaiman, 57, dan adiknya, Suwaid, 18, keluar dari bilik masing-masing dan cuba membantu, namun kedua-dua mereka turut menerima nasib sama apabila dipukul teruk.

Muadz berkata, kelima-lima perompak itu kemungkinan warga Indonesia berikutan loghat seorang daripadanya apabila menyuruh rakan lain mencari barang berharga.Menurutnya, kejadian berlaku ketika semua ahli keluarga lain tidur di bilik masing-masing.

“Semuanya berlaku begitu pantas. Tapi, akibat masa bergelut yang agak lama, kelima-lima mereka tidak sempat mengambil apa-apa barang milik kami,” katanya.
Menurutnya, sejurus selepas kejadian, kakaknya, Shafeeqah, 26, dan ibu Zanariah Yusof, 49, menghubungi talian 999 dan balai polis berdekatan meminta bantuan.

Zanariah berkata, polis hanya tiba apabila suami dan kedua-dua anaknya dihantar ke hospital oleh beberapa jirannya.

“Ini kali kedua rumah dipecah masuk. Malah, jiran kami juga pernah mengalami kejadian sama sebelum ini. Saya berharap polis lebih kerap memantau kawasan ini kerana khuatir kejadian berulang,” katanya.

No comments:

Post a Comment