Search This Blog

Saturday, April 17, 2010

Langgar mati budak dipenjara 2 tahun



KUALA LUMPUR 16 April - Sudahlah tidak mempunyai lesen memandu, lori yang dipandunya pula tidak dilindungi polisi insurans.
Lebih malang lagi, semasa memandu lori tersebut tujuh tahun lalu, dia melanggar seorang kanak-kanak berusia lapan tahun sehingga meninggal dunia.
Tidak cukup dengan sikap tidak berhemah, bekas pemandu lori yang tidak bertanggungjawab itu juga gagal melaporkan kemalangan maut tersebut di balai polis berdekatan dalam tempoh 24 jam.
Hari ini, C. Murugan, 33, dihukum penjara dua tahun dan denda RM5,000 setelah didapati bersalah oleh Mahkamah Trafik di sini bagi kesemua tuduhan yang dihadapinya di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Majistret Nik Haslinie Hashim juga memerintahkan lelaki tersebut dipenjara lima bulan lagi jika gagal membayar denda.
Nik Haslinie dalam keputusannya menyatakan, setelah meneliti keterangan semua saksi, beliau mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes tersebut melampaui keraguan yang munasabah.
Bagi tuduhan pertama, Murugan didakwa memandu kenderaan dengan cara berbahaya sehingga menyebabkan kematian ke atas Muhammad Aizat Ahmad di lorong Kampung Benteng, Segambut di sini pada pukul 12.30 tengah hari, 10 Disember 2003.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 10 tahun serta denda antara RM5,000 dan RM20,000 selain lesen memandu digantung.
Bagi kesalahan gagal membuat laporan polis dan tidak mempunyai lesen memandu, dia didenda RM400 dan RM300.
Kedua-dua tuduhan dibuat mengikut Seksyen 52(2) dan Seksyen 26(1) akta yang sama.
Bagi kesalahan mengikut Seksyen 90(1) akta tersebut iaitu tidak melindungi kenderaan dengan insurans, denda sebanyak RM300 dikenakan terhadapnya.
Sepanjang perbicaraan, seramai sembilan saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan memberikan keterangan.
Dalam rayuan untuk meringankan hukuman, peguam bela, R. Murugan yang mewakili tertuduh menyatakan, anak guamnya yang masih bujang tidak mempunyai niat untuk melanggar mangsa.
Katanya, tertuduh yang kini membantu bapanya menjalankan perniagaan besi buruk turut menyifatkan tempoh tujuh tahun perbicaraan itu adalah seperti hukuman terhadapnya.
Pendakwaan dikendalikan oleh pegawai pendakwa, Cif Inspektor Abdullah Said.

No comments:

Post a Comment