Search This Blog

Monday, April 12, 2010

Korban banjir meningkat



NITEROI, 11 April - Angka korban dalam banjir terburuk di Brazil sejak berpuluh-puluh tahun dijangka meningkat kepada lebih 400 orang semalam, sementara pasukan penyelamat bertungkus-lumus untuk mencari mangsa yang masih hidup dalam satu kejadian tanah runtuh meskipun harapan semakin tipis.
Mayat-mayat dikeluarkan dari timbunan tanah lumpur dan sampah-sarap di kawasan setinggan Morro do Bumba di Niteroi lewat kelmarin dan semalam, menjadikan angka kematian meningkat kepada 223 orang.
Sejumlah 220 orang lagi dipercayai tertimbus hidup-hidup dalam kejadian tanah runtuh di kawasan setinggan tersebut yang terletak dalam kedudukan berbahaya di atas tapak pembuangan sampah di Niteroi, ke timur Rio de Janeiro.
Kira-kira 60 jam selepas hujan paling lebat dalam tempoh setengah abad menyebabkan banjir besar dan banjir lumpur, pasukan penyelamat masih belum selesai mengeluarkan mayat dari bawah timbunan bertan-tan batu, runtuhan bangunan dan tanah.
Banjir melanda seluruh kawasan setinggan di lereng bukit atau favela di kawasan metropolitan bandar ini.
Paling teruk terjejas ialah Niteroi di mana sekurang-kurangnya 141 orang terkorban manakala 63 lagi mayat ditemui di Rio de Janeiro.
Hujan lebat dan banjir menyebabkan kira-kira 50,000 penduduk terpaksa berpindah, sama ada kerana rumah mereka rosak atau mereka diarah berpindah disebabkan ancaman tanah runtuh.
Pakar geologi, Marcelo Motta yang terlibat dalam siasatan mengenai tanah runtuh memberitahu stesen televisyen Globo News, dua keretakan dalam tanah berbatu mencetuskan pergerakan tanah yang menyebabkan timbunan sampah-sarap bercampur air serta gas metana menuruni bukit.
Tumpuan segera beralih kepada pihak yang bertanggungjawab terhadap kerosakan dan bilangan kematian yang besar itu.
Pakar menyalahkan 'kelalaian' pihak kerajaan kerana membenarkan golongan miskin membina rumah secara tidak teratur di kawasan yang berisiko dilanda bencana, seperti di lereng bukit-bukit curam. - AFP

No comments:

Post a Comment