Search This Blog

Saturday, April 17, 2010

Ketua Baju Merah cabut lari




ARISMAN Pongruangrong diturunkan menggunakan tali oleh para penyokong Baju Merah dari bangunan Hotel SC Park semasa melarikan diri daripada pihak berkuasa Thai di Bangkok, semalam. - REUTERS


BANGKOK 16 April - Krisis politik Thailand menyaksikan insiden memeranjatkan hari ini apabila seorang pemimpin protes antikerajaan, Arisman Pongruangrong melarikan diri dengan menggunakan tali dari bilik hotelnya bagi mengelak dari ditangkap pihak berkuasa, malah penyokongnya turut menjadikan dua pegawai polis sebagai tebusan.
Perbuatan berani Arisman adalah keaiban terbaru kerajaan, yang 30 minit sebelum itu mengumumkan pasukan keselamatan telah mengepung hotel tersebut untuk menahannya dan beberapa pemimpin lain yang bersembunyi di dalam bangunan itu.
Pihak berkuasa setakat ini masih gagal menamatkan perhimpunan selama sebulan oleh berpuluh ribu Baju Merah di kawasan pelancongan dan beli-belah Bangkok. Sekurang-kurangnya 24 terbunuh minggu lalu apabila askar cuba menyuraikan sekumpulan penunjuk perasaan.
Serbuan yang gagal hari ini menunjukkan kesanggupan kerajaan untuk menghadapi konfrontasi baru dengan Baju Merah, yang berkempen untuk menggulingkan Perdana Menteri Abhisit Vejjajiva, membubarkan Parlimen dan mengadakan pilihan raya baru.
Namun ia hanya membangkitkan kemarahan Baju Merah, yang kemudian mengisytiharkan 'perang' ke atas kerajaan.
"Mulai saat ini misi kita adalah untuk memburu Abhisit... ini adalah perang antara kerajaan dan Baju Merah," kata Arisman, seorang bintang pop yang menjadi aktivis, kepada penyokongnya.
Dia adalah pemimpin Baju Merah yang menghasut keganasan. Dikehendaki polis kerana mengetuai pencerobohan ke atas Parlimen oleh beratus-ratus penyokong pada 7 April lalu, Arisman juga mengepalai rusuhan ke atas sidang kemuncak ASEAN di Pattaya tahun lalu, menyebabkan ia dibatalkan.
Seorang lagi pemimpin Baju Merah dilihat memanjat turun tingkap hotel dan pokok namun tidak dapat dipastikan dia berjaya melarikan diri atau tidak.
Sementara itu, beribu-ribu penyokong prokerajaan 'Baju Merah Jambu' yang menggelar diri mereka 'Rakyat Melindungi Negara' berhimpun di luar pangkalan tentera tempat Abhisit berlindung di Bangkok sambil mengibarkan bendera Thailand dan meminta pihak berkuasa bertindak ke atas Baju Merah.
Ketua Baju Merah Jambu, Tul Sittisomwong berkata, mereka telah menyerahkan surat kepada kerajaan meminta 'tindakan diambil ke atas pengganas dan penunjuk perasaan yang tidak mengadakan protes dengan aman'. - AP/AFP

No comments:

Post a Comment