Search This Blog

Saturday, April 17, 2010

Kes kelindan lori bunuh budak disebut semula 22 April



PETALING JAYA 16 April - Mahkamah Majistret di sini menetapkan 22 April ini untuk sebutan semula kes seorang kelindan lori yang didakwa membunuh kanak-kanak, K. Harreswaral.
Majistret Ho Kwong Chin menetapkan tarikh itu sementara menunggu keputusan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Shah Alam berhubung isu penahanan reman M. Rajamorgan, 33.
Beliau sebelum itu diberitahu oleh peguam bela Amer Hamzah Arshad yang mewakili tertuduh bahawa semakan kehakiman tersebut akan didengar di Mahkamah Tinggi pada Isnin ini.
Semakan tersebut difailkan Amer Hamzah pada 20 Mac lalu selepas beliau tidak berpuas hati dengan arahan majistret tersebut yang melanjutkan reman anak guamnya sehari sebelum itu, atas alasan belum mendapat surat izin memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi.
Perintah itu disifatkan beliau sebagai di luar bidang kuasa mahkamah tersebut.
Rajamorgan yang berada dalam reman sejak 5 Mac lalu menghadapi dakwaan membunuh Harreswaral di taman permainan kanak-kanak di Pangsapuri Vista Damansara, Jalan Kenanga, Kampung Sungai Kayu Ara di sini di antara pukul 9.40 malam dan 10.10 malam, 3 Mac lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Tarikh hari ini ditetapkan untuk sebutan memindahkan kes berkenaan ke Mahkamah Tinggi.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Roslan Abu Bakar yang dibantu Zhafran Rahim Hamzah memaklumkan bahawa pihaknya bersedia memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi hari ini setelah menerima surat izin.
Roslan bagaimanapun tidak membantah permohonan pihak pembelaan untuk menunggu keputusan semakan itu.

No comments:

Post a Comment