Search This Blog

Wednesday, April 28, 2010

Kerabat Kedah desak Azizan, Mohd Nasir mohon ampun



ALOR SETAR - Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdu:l Razak dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubang Rotan, Mohd Nasir Mustafa dituntut memohon ampun daripada Sultan Kedah berikutan soalan berkaitan kuasa Tuanku Sultan sebagai Ketua Agama Negeri Kedah.

Yang Dipertua Persatuan Kerabat Diraja Kedah (PKDK), Datuk Tengku Zainol Rashid Tengku Yahya menuntut Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubang Rotan, Mohd Nasir Mustafa memohon ampun kepada Sultan Kedah berhubung soalan berkaitan kuasa Sultan sebagai Ketua Agama Negeri itu.

Katanya, PKDK menganggap tindakan mempersoalkan bidang kuasa Sultan pada persidangan DUN tidak sepatutnya berlaku berikutan kedudukan baginda yang dijamin dalam Undang-Undang Tubuh Negeri sebagai Ketua Agama dan Ketua Negeri.

“Tindakan Mohd Nasir dengan sokongan rakan-rakannya meninggalkan satu titik hitam dalam sejarah. Kami menyeru rakyat Kedah memahami kedudukan Tuanku Sultan sebagai Ketua Agama yang tidak boleh dipertikaikan oleh sesiapa pun termasuk wakil rakyat,” katanya pada sidang media di sebuah dewan di Anak Bukit, di sini, semalam.

Tengku Zainol berkata, walaupun soalan lisan bernombor 3(a) dan 3(b) ditolak oleh Speaker DUN, Datuk Dr Abdul Isa Ismail, ia masih tidak ditarik balik sepenuhnya daripada rekod dewan.

Ditanya jika tuntutan itu tidak dipenuhi, Tengku Zainol berkata, pihaknya masih tidak memutuskan tindakan susulan namun tidak menolak kemungkinan untuk mengadakan demonstrasi besar-besaran bagi mempertahankan kedaulatan institusi diraja Kedah.

“PKDK adalah badan bebas politik tetapi akan mempertahankan institusi raja, agama Islam dan Melayu daripada sebarang usaha dipolitikkan," katanya.

Terdahulu, seramai 15 ahli lima badan bukan kerajaan (NGO) bernaung di bawah PKDK mengadakan demonstrasi aman di pekarangan dewan itu bagi membantah tindakan ADUN Kubang Rotan mempersoalkan bidang kuasa Sultan Kedah sebagai Ketua Agama Islam Negeri dan juga Kerajaan Pusat pada sidang DUN kelmarin.

No comments:

Post a Comment