Search This Blog

Saturday, April 17, 2010

Kejar gaji lumayan: Ibu tunggal ditipu



JOHOR BAHRU 16 April - Seorang ibu tunggal sanggup berpisah dengan anaknya yang menghidap penyakit tulang rapuh semata-mata untuk mencari rezeki di negara jiran, Singapura.
Namun, hasrat wanita itu yang hanya mahu dikenali sebagai Mona, 33, dari Taman Impian Emas di sini tidak kesampaian apabila mendakwa ditipu seorang ejen pekerjaan yang hanya dikenalinya sebagai 'Kak Mas'.
Menurut Mona, dia yang sebelum ini bekerja di sebuah restoran makanan segera di Taman Sutera sering didatangi oleh Kak Mas yang memujuknya supaya bekerja di Singapura sejak empat bulan lalu.
Akibat termakan pujuk, Mona akhirnya berhenti kerja dan bersetuju mengikut Kak Mas yang berjanji menawarkan kerja di restoran makanan segera di negara jiran itu dengan gaji AS$1,300 (RM3,022) sebulan.
"Pada masa saya setuju itu, saya hanya fikir untuk mendapat pendapatan lumayan untuk menolong ibu yang menjaga anak lelaki saya berusia lapan tahun.
"Tetapi semua harapan itu berkecai apabila saya ditipunya dan hidup terseksa sehingga terpaksa mengemis sepanjang tujuh hari berada di sana," katanya semasa ditemui di sini hari ini.
Mona memberitahu, dia dibawa masuk ke Singapura oleh Kak Mas pada 1 April lalu sebelum terus dibawa bekerja di sebuah restoran makanan bukan Islam.
Lebih menyedihkan, dia tidak diberi makan dan minum oleh majikannya selain dimarahi apabila dia cuba mencuri-curi meminum air paip semasa mencuci pinggan mangkuk.
"Sudahlah tidak diberi makan dan minum, tempat tinggal yang disediakan juga tidak mempunyai bekalan air dan elektrik.
"Apabila saya minta penjelasan daripada Kak Mas, dia hanya memberi alasan saya hanya bekerja di restoran itu untuk sementara waktu selain mengugut mahu menjual saya sekiranya mahu berhenti kerja," katanya.
Mona mendakwa, selain dirinya, terdapat sekurang-kurangnya 15 rakyat negara ini yang tinggal di 'asrama' yang disediakan itu.
Dia yang rasa ditipu oleh Kak Mas bertindak melarikan diri sebaik habis bekerja keesokan harinya.
"Saya tidak tahu mana nak pergi memandangkan pasport dan kad pengenalan dipegang oleh Kak Mas menyebabkan saya terpaksa merempat di tepi jalan selain mengemis untuk makan dan minum.
"Akhirnya, pada 7 April lalu saya berjaya menemui Kedutaan Malaysia di sana untuk meminta pertolongan sebelum membuat laporan polis di keesokan harinya," kata Mona.
Dia yang pulang semula ke negara ini dengan bantuan Kedutaan Malaysia kemudiannya membuat satu lagi laporan di Balai Polis Larkin di sini pada 10 April lalu.
Mona tidak menyangka Kak Mas yang berperwatakan baik dan alim selain bercakap lemah lembut itu sanggup mengeksploitasi dirinya.
"Saya yakin bukan saya seorang sahaja menjadi mangsa kerana ramai lagi yang ditipu oleh Kak Mas.
"Saya mendedahkan semua ini kerana tidak mahu orang lain turut menjadi mangsanya," kata Mona lagi.

No comments:

Post a Comment