Search This Blog

Wednesday, April 28, 2010

Jangan sentuh kuasa sultan





KUALA LUMPUR 27 April - Mereka yang bergelar wakil rakyat tidak sewajarnya mengemukakan soalan yang menyentuh tentang kuasa Raja-Raja Melayu dan sultan sebagai Ketua Agama Islam.
Pensyarah Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Md. Shukri Shuib berkata, wakil rakyat sepatutnya mendapatkan penjelasan mengenai perkara itu daripada pihak yang lebih pakar dan mahir dalam soal undang-undang serta kuasa institusi beraja.
Katanya, adalah tidak wajar untuk mereka mengemukakan soalan seperti itu pada sidang Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri.
"Eloklah soal kuasa sultan ini diletakkan di tempatnya.
"Kita sudah merdeka lebih setengah abad dan sepatutnya wakil rakyat sudah tahu dan faham tentang sejauh mana kuasa raja-raja Melayu dan apa yang wakil rakyat patut dan tidak patut buat.
"Soalan seperti itu hanyalah berbaur politik. Jangan soal dari segi prosedur sahaja yang pentingnya kita seharusnya menghormati apa yang sudah termaktub itu," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas tindakan seorang wakil rakyat Pas yang mengemukakan dua soalan bertulis yang menjadi kontroversi pada Sidang DUN Kedah semalam yang dilihat seolah-olah cuba mempertikaikan kuasa Sultan selaku Ketua Agama Islam di negeri itu.
Dua soalan yang dikemukakan ADUN Kubang Rotan, Mohd. Nasir Mustafa itu ialah sejauh manakah bidang kuasa Sultan sebagai Ketua Agama Islam di negeri ini dihormati Kerajaan Pusat dan setakat manakah tahap tidak boleh campur tangan kerajaan Negeri Kedah dalam pentadbiran hal ehwal agama Islam.
Bagaimanapun, Speaker DUN Kedah, Datuk Dr. Abdul Isa Ismail menarik balik soalan tersebut selepas menerima bantahan ADUN pembangkang dari Barisan Nasional (BN) semasa sidang berlangsung dan mengakui beliau mungkin "terlepas pandang".
Md. Shukri berkata, adalah lebih elok dan manis apabila semua wakil rakyat menghormati tradisi yang menjadi nilai dan asas kepada kedaulatan institusi beraja di negara ini.
"Di negara ini, kita ada tradisi dan sepatutnya kita menghormati nilai dan asas tradisi itu termasuk yang berkaitan kuasa sultan.
"Jika wakil rakyat bersikap degil mahu mengemukakan soalan yang menyentuh soal kuasa sultan di dalam Dewan Rakyat atau DUN, dikhuatiri nanti ia akan menyebabkan polemik di masa depan," katanya.
Menurut beliau, sama ada soalan seperti itu boleh dikemukakan atau tidak pada sesuatu sidang DUN mahupun Parlimen, ia bukanlah isu yang sebenar.
"Soal yang penting adalah kita cuba mengelak dari menimbulkan kesan yang boleh menjejaskan Perlembagaan kita," katanya.
Dalam pada itu, Pensyarah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Sham Rahayu Ab. Aziz berkata, menurut perundangan, seseorang wakil rakyat boleh mengemukakan soalan seperti yang ditanya Mohd. Nasir.
"Kecuali jika wakil rakyat ini mencadangkan berhubung pelucutan kuasa Sultan, itu sudah menyalahi undang-undang," katanya.
Menurut beliau, tindakan Speaker menarik balik soalan bertulis oleh Mohd. Nasir itu juga berkemungkinan dibuat bagi mengelak keadaan dalam sidang DUN itu menjadi lebih buruk.
"Speaker ada kuasa untuk menarik balik atau membenarkan soalan itu dijawab, cuma mungkin masa ia ditanya itu keadaan tidak begitu sesuai maka ia perlu ditarik balik," katanya.

No comments:

Post a Comment