Search This Blog

Thursday, April 29, 2010

Jangan roboh surau kami




KUALA KANGSAR – :Penduduk Fasa 3, Taman Chandan Putri, di sini, melahirkan rasa gelisah apabila surau sementara yang dibina untuk kemudahan mereka menunaikan solat dan menganjurkan pelbagai aktiviti keagamaan tidak mendapat persetujuan pihak berkuasa. 

Lebih meresahkan penduduk apabila menerima notis daripada pihak berkuasa yang mahu mereka merobohkan surau itu dalam tempoh sebulan bermula 15 April lalu. 

Wakil Penduduk, Hasnul Zulkarnain, berkata, sudah lima tahun mereka diami taman berkenaan tetapi tiada kemudahan surau disediakan. 

Menurutnya, menggunakan inisiatif sendiri, penduduk bersepakat mendirikan surau sementara di satu kawasan lapang di taman berkenaan. 

“Kini sudah tiga bulan kami bersolat di surau ini, walaupun pada asalnya memang pembinaan surau sementara ini tiada kelulusan tetapi selepas mendapat laporan daripada Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) saya buat permohonan. 

“Tetapi malangnya ia tidak dibenarkan,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, baru-baru ini. 

Katanya, kira-kira 300 jemaah menggunakan kemudahan sementara itu dan mereka berhasrat untuk mempertahankannya. 

“Sebelum ini, selain solat berjemaah, kami juga menganjurkan sambutan Maulidur Rasul dan solat hajat setiap minggu di surau ini. 

“Dalam satu-satu masa kira-kira 30 hingga 40 jemaah bersolat di surau ini dan jika hujung minggu ia menjangkau 70 hingga 80 jemaah,” katanya. 



Kami ada sebab tersendiri 



Hasnul, berkata, pihaknya tidak menggunakan tapak asal untuk membina surau sementara kerana mempunyai alasan tersendiri. 

“Apabila kita kaji, tapak asal tidak sesuai untuk bina surau sementara kerana apabila pembinaan surau kekal dijalankan, kami terpaksa merobohkannya dan macam mana kami nak bersolat selepas ini?” katanya. 

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Hazimi Abd Manan berkata, memang surau berkenaan didirikan di kawasan lapang tempat rekreasi tetapi ia hanya menggunakan penjuru tanah sahaja. 

“Kami hanya menggunakan sebahagian kecil sahaja tanah lapang ini dan penduduk boleh lagi menggunakan kawasan itu untuk tujuan riadah. 

“Dengan adanya surau ini, kita juga dapat menganjurkan pelbagai aktiviti yang bermanfaat untuk semua malah juga bercadang untuk menganjurkan majlis khatam beramai-ramai di sini,” katanya. 

Imam surau berkenaan, Mohd Hamdan Abdullah berkata, sebelum surau berkenaan didirikan, penduduk terpaksa ke Masjid Kolej Islam Darul Ridzuan (Kisdar) untuk bersolat dan menimbulkan sedikit kesulitan kepada mereka. 

Menurutnya, walaupun masjid berkenaan hanya 500 meter dari taman mereka namun ia menyukarkan penduduk untuk ke sana terutamanya kanak-kanak. 

“Di surau sementara ini, kanak-kanak dapat bersama kami termasuk menyertai aktiviti yang dianjurkan. 

“Jadi kami berharap sangat dan memohon pihak berwajib meluluskan penggunaan surau ini, sementara menunggu surau kekal siap dibina,” katanya. 



Alasan mereka tidak munasabah: YDP MPKK 



Sementara itu, Sinar Harian mendapatkan penjelasan daripada Yang Dipertua MPKK, Datuk Mohd Shafie Ariffin, berhubung masalah berkenaan. 

Shafie berkata, alasan di:berikan penduduk yang mendakwa tiada kemudahan surau adalah tidak munasabah kerana jarak masjid Kisdar dengan taman berkenaan terlalu dekat. 

Menurutnya, sebarang pembinaan surau haruslah mendapat kebenaran bertulis daripada MPKK dan Majlis Agama Islam terlebih dahulu. 

“MPKK sudah menghantar notis untuk membuka semula surau berkenaan dan dari segi pembinaan, tiada sebarang kelulusan diberikan kerana berdasarkan perundangan kerajaan tempatan tanah lapang tidak boleh digunakan untuk apa sahaja pembinaan tetapi hanya untuk tujuan rekreasi. 

“Sebenarnya pemaju juga telah sediakan tapak surau cuma ia masih dalam perancangan,” katanya. 

Beliau berkata, selain Masjid Kisdar, taman dan kampung berdekatan juga menyediakan kemudahan surau serta tempat ibadat. 

“Memandangkan masjid dan surau dari kawasan berhampiran pun ada, tiada alasan untuk penduduk menidakkannya malah saya berharap penduduk dapat bersabar dan boleh menggunakan Masjid Kisdar yang hanya berjarak 500 meter sahaja untuk beribadat. 

“Sekarang pun semua orang ada kemudahan kenderaan dan bila-bila masa sahaja boleh pergi ke masjid,” katanya.

No comments:

Post a Comment