Search This Blog

Wednesday, April 28, 2010

Ibu tunggal gesa tindakan tegas bekas suami rogol, liwat 4 anak




KULIM - Seorang ibu tunggal beranak lima berusia 40-an, kecewa dengan pihak terlibat kerana tidak mengambil tindakan tegas terhadap bekas suaminya yang dikatakan merogol dan meliwat empat daripada lima anaknya. 

Pengurus Pusat Khidmat Aduan Wanita Parlimen Kulim Bandar Baharu, Suraiya Hashim berkata, mangsa yang tinggal di Jalan Tunku Bendahara membuat aduan kepadanya mengenai masalah dihadapi dan sehingga kini tiada tindakan diambil terhadap lelaki itu. 

“Saya simpati dengan nasib ibu tunggal itu apabila empat daripada lima anaknya pernah dirogol dan diliwat bapa sendiri. 

“Siasatan kami mendapati anak lelaki berusia 24 tahun diliwat sejak berusia 6 hingga 12 tahun. Anak keduanya berusia 17 tahun terselamat kerana berada di asrama. Anak perempuan berusia 16 tahun dirogol sejak usia 7 hingga 12 tahun,” katanya. 

Suraiya berkata, anak lelaki berusia 15 tahun diliwat sejak berusia enam hingga 15 tahun dengan laporan polis terbaru dibuat terhadap suspek pada 20 Februari. Mangsa mengadu diliwat di tapak pembinaan berhampiran jam besar Kulim kira-kira jam 3 pagi. 

“Anak perempuan bongsu yang kini berusia sembilan tahun dirogol sejak berusia tiga sehingga lapan tahun. Bagaimanapun, suspek tidak melakukan perlakuan seks terhadap anak-anaknya pada tahun ini,” katanya. 

Suraiya berkata, perlakuan tidak berperi kemanusiaan itu seharusnya mendapat perhatian semua pihak kerana ia mendatangkan fobia terhadap mangsa terlibat. 

“Saya dimaklumkan, suspek masih bebas dan berada sekitar Kulim,” katanya. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, siasatan dijalankan dan pendakwaan sudah dibuat mahkamah. 

Beliau berkata, sekiranya berlaku sebarang kelewatan, mangsa atau waris mangsa boleh menghubungi mahkamah untuk mengetahui status kes. 

“Waris atau Pusat Khidmat Aduan Wanita Parlimen Kulim Bandar Baharu bahawa polis menjalankan siasatan terhadap aduan yang dibuat mangsa. Suspek sudah didakwa di mahkamah. 

“Mahkamah akan menentukan perjalanan kes itu kerana polis sudah menyerahkan hasil siasatan kepada pihak pendakwa,” katanya.

No comments:

Post a Comment