Search This Blog

Saturday, April 17, 2010

Gabenor Jakarta perjelas rusuhan Koja



JAKARTA 16 April - Gabenor Jakarta, Fauzi Bowo hari ini menghadiri sidang pleno yang meminta beliau menjelaskan rusuhan berdarah membantah rancangan merobohkan makam seorang ulama di Koja, utara Jakarta yang meragut tiga nyawa dan mencederakan 128 yang lain.
Menurut Fauzi, pihak luar dan bukan penduduk setempat yang memburukkan ketegangan yang timbul sebaik pegawai Ketenteraman Awam tiba untuk memusnahkan makam tersebut yang terletak di tanah milik pengendali pelabuhan negara, PT Pelindo II.
Menurut beliau, pertempuran tercetus buat kali pertama pada pukul 7 pagi selepas penduduk setempat melontarkan objek terhadap pegawai, namun ia reda sejam kemudian.
"Ketegangan kembali berlaku pada pukul 8.30 pagi disebabkan pihak luar. Satu lagi pertempuran tercetus pada 10.30 pagi namun pada pukul 11 pagi pegawai diarahkan berundur.
"Namun pada pukul 11.30 pagi, pihak luar menyertai penduduk tempatan dan menjelang 3.30 petang situasi berada di luar kawalan sebelum reda selepas pukul 6 petang," kata Fauzi lagi.
Katanya, kerajaan tempatan cuba mencari penyelesaian antara pewaris bekas pemilik tanah itu dengan Pelindo II pada Oktober tahun lalu hingga bulan lepas namun gagal mencapai persetujuan.
Fauzi berkata, pentadbiran wilayah akan mengisytiharkan memorial peringatan tokoh Islam itu sebagai tapak kebudayaan dan akan kekal di sana.
Ia tercetus ekoran pertelingkahan tanah antara Pelindo II dengan ahli keluarga ulama yang disegani, Arif Billah Hasan Muhammad Al Hadad, yang makamnya sebelum ini berada di kompleks peringatan lokasi tersebut.
Mayat Habib telah dipindahkan dari kubur itu beberapa tahun lalu tetapi makamnya masih dianggap keramat oleh ramai penduduk di kawasan miskin di utara ibu kota itu. - Agensi

No comments:

Post a Comment