Search This Blog

Wednesday, April 28, 2010

Dr. Vanezis terima ugutan





Dr. Peter Vanezis


SHAH ALAM 27 April - Pakar perubatan forensik dari United Kingdom, Profesor Dr. Peter Vanezis membuat laporan polis malam semalam, mendakwa menerima e-mel berunsur ugutan selepas beliau memberi keterangan berhubung hasil bedah siasat kedua terhadap mayat Teoh Beng Hock.
Ketua Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Abdul Razak Musa memaklumkan perkara itu sebelum Vanezis menyambung keterangannya pada prosiding inkues menyiasat punca kematian Setiausaha Politik Exco Selangor itu di Mahkamah Koroner di sini hari ini.
Menurut beliau, laporan tersebut dibuat oleh Vanezis pada pukul 11.10 malam di Balai Polis Seksyen 11 dekat sini kerana bimbang keselamatan diri dan keluarganya terancam selepas menerima e-mel tersebut.
Berdasarkan salinan yang dikemukakan kepada mahkamah, laporan polis itu berbunyi:
''Saya menerima e-mel selepas memberi keterangan di mahkamah dan sedang di peringkat disoal balas. E-mel tersebut tidak menyenangkan dan menakutkan serta turut melibatkan keluarga saya. Saya beranggapan e-mel tersebut adalah satu cubaan untuk campur tangan terhadap proses mahkamah dengan niat untuk mempengaruhi keterangan saya.''
Salinan e-mel tersebut turut diserahkan kepada pihak polis. Bagaimanapun butirannya tidak didedahkan kepada mahkamah.
Vanezis dilantik oleh SPRM sebagai pakar bebas semasa mayat Beng Hock dibedah siasat untuk kali kedua oleh pakar patologi dari Hospital Sungai Buloh, Dr. Shahidan Md. Noor pada 22 November tahun lalu.
Dalam keterangannya semalam beliau mengesahkan tiada kesan cekikan pada leher Beng Hock selain kematian lelaki itu berpunca daripada kecederaan berganda akibat terjatuh dari tempat tinggi.
Vanezis turut berpendapat Beng Hock berada dalam keadaan sedar semasa jatuh serta kakinya mencecah lantai dahulu semasa terhempas berdasarkan kecederaan yang dialami.
Semasa disoal balas oleh peguam yang mewakili keluarga Beng Hock dan Kerajaan Negeri Selangor, Gobind Singh Deo dan Malik Imtiaz Sarwar, beliau hari ini mengekalkan kenyataan yang sama.
Dalam keterangannya, Vanezis berpendapat bintik-bintik merah pada bebola mata akan kekal dan boleh dilihat sekiranya Beng Hock mengalami sesak nafas atau lemas akibat dicekik kerana mayatnya dalam keadaan baik selepas diawet.
Beliau juga tidak bersetuju dengan pandangan Shahidan sebelum ini bahawa tanda-tanda tersebut tidak kelihatan mungkin kerana bedah siasat kedua dijalankan hanya selepas empat bulan mangsa meninggal dunia.
Pakar patologi dari Thailand, Dr. Pornthip Rojanasunand yang dilantik oleh Kerajaan Negeri Selangor sebelum ini berpendapat 80 peratus kecenderungan Beng Hock mati akibat perbuatan jenayah selain menemui kesan cekik pada leher mangsa.
Beng Hock yang merupakan setiausaha politik kepada anggota Exco Selangor, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati di tingkat lima Plaza Masalam pada 16 Julai 2009 selepas memberi kenyataan mengenai dakwaan salah guna peruntukan kerajaan negeri di pejabat SPRM di bangunan yang sama.
Prosiding di hadapan Koroner Azmil Muntapha Abas bersambung pada 20 Mei ini.
Sementara itu Bernama melaporkan, Vanezis semasa ditemui di luar mahkamah berkata, beliau hanya menerima satu panggilan telefon berupa ugutan sejak 35 tahun lepas dan ia mempunyai kaitan dengan satu kes di United Kingdom.
''E-mel itu bertujuan menakut-nakutkan saya sehingga ia boleh menjejaskan keterangan saya hari ini. Tetapi sebagai seorang yang profesional, saya tidak boleh ditakutkan oleh e-mel seumpama itu.
''Saya harap pihak polis akan menjalankan siasatan,'' kata profesor British itu yang tidak asing di negara ini.
Vanezis berkata, beliau telah beberapa kali ke negara ini untuk mengendalikan pemeriksaan luar bagi sains forensik di Universiti Sains Malaysia (USM) dan dua lagi fakulti perubatan.
Menurutnya, ancaman melalui e-mel itu tidak akan melemahkan semangatnya dan bersedia untuk datang ke negara ini sekiranya kepakaran beliau diperlukan.

No comments:

Post a Comment